Kerajaan Perikatan Nasional digesa mengenakan kawalan harga dan memberi rebat cukai ke atas syarikat-syarikat yang mengguna alat terbaharu melaksanakan saringan Covid 19 kendiri ke atas para pekerja mereka.
Ahli Parlimen Sungai Buloh, Sivarasa Rasiah berkata, penggunaan kit ujian kendiri itu merupakan satu perkembangan baik dan mampu merubah keadaan memandangkan masa yang diambil untuk mengetahui seseorang positif atau tidak hanya 15 minit.
“Saya menggesa Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) percepatkan kelulusan agar peningkatan keperluan mendadak dapat ditampung pasaran dengan menyediakan lebih banyak pilihan yang menjamin harga alat berkenaan kekal mampu dimiliki semua.
“Untuk mengelak pencatutan, kerajaan perlu mengumumkan had siling harga jualan kit tersebut dan mendakwa mana-mana penjual yang didapati melanggar had siling itu
“Manakala untuk menggalakkan penggunaan kit ujian saringan kendiri ini, kerajaan perlu pertimbangkan rebat cukai yang bermakna untuk semua syarikat yang ingin mengguna kit berkenaan untuk membuat saringan ke aats para pekerja mereka secara berkala.
“Satu mekanisma pelaporan dalam talian yang bersesuaian boleh diwujudkan sebagai asas mendapatkan rebat tersebut apabila tiba masa melaporkan cukai syarikat,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau lagi, kerajaan perlu meraih faedah kesihatan awam semaksimum mungkin daripada penggunaan meluas kit-kit ujian tersebut oleh individu mahu pun syarikat, dan kerajaan perlu berbincang dengan syarikat-syarikat pengeluar untuk mewujudkan mekanisme pelaporan mudah untuk direkodkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Kerajaan harus mewujudkan mekanisme pelaporan mudah menggunakan MySejahtera bagi mereka yang didapati positif setelah membuat ujian saringan dengan kit-kit ini.
“Ianya sudah pasti tidak sukar untuk mewujudkan sistem kod bar yang boleh diimbas dan dihubungkan dengan satu modul dalam MySejahtera untuk melaporkan keputusan positif. Ini akan meningkatkan jumlah ujian dan membantu pengawasan keberadaan Covid-19 dalam masyarakat. Individu-individu yang didapati positif boleh kemudiannya diarah membuat ujian pengesahan menggunakan kit PCR.
“Saya gesa Menteri Kesihatan untuk segera memberi respon kepada cadangan-cadangan ini, yang akan saya bawa ke sidang khas Parlimen minggu hadapan walaupun wujud pelbagai kekangan untuk berbahas,” katanya lagi.
Untuk rekod, Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) Malaysia telah meluluskan 2 kit ujian saringan kendiri Covid-19 – Salixium Covid-19 Rapid Antigen (Saliva/Nasal swab) yang dibuat Reszon Diagnostics International Sdn Bhd dan Gmate Covid-19 Ag Saliva for Home Use oleh Philosys Co. Ltd., Korea Selatan baru-baru ini.