Tindakan Kementerian Kewangan meletakkan Tabung Haji (TH) di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM) amat menggusarkan kerana akan berlaku ‘salah bidang tugas’ di dalam praktik sedemikian.
Mantan Menteri Kewangan Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bukan dalam bidang tugas BNM untuk menjaga institusi tabungan dan pelaburan seperti TH, sebaliknya BNM bertugas mengawal selia polisi kewangan bank-bank simpanan atau perdagangan di Malaysia.
“Tanggungjawab BNM ialah mengurus sistem kewangan dan ambilalih institusi bank kalau ada pelanggaran dan risiko kepada pendeposit.
“Dalam kes TH, kerajaan umum Suruhanjaya Siasatan Diraja kaji punca masalah penyelewengan dan sebagainya, itu boleh diteruskan. Tetapi kalau ada masalah pengurusan, mustahil tidak ada orang yang layak mengurus TH? Dalam jutaan orang, tidak adakah yang boleh mengurus dengan baik tanpa campurtangan politik?
“Yang menjadi jahanam institusi ini ialah campurtangan orang politik. Keluarkan orang politik dari pengurusan TH, selamatkan wang rakyat,” katanya dalam siaran media, pagi tadi.
Menurut Pengerusi Pakatan Harapan itu lagi, ahli politik Perikatan Nasional yang sebelum ini bercakap berdegar-degar mempersoalkan salah guna wang TH tidak pula menentang cadangan tersebut, sebaliknya diam membisu.
Anwar menyarankan agar kerajaan PN melantik pengurus yang berwibawa mengendalikan TH dengan baik dan diawasi BNM.
“TH punya rekod yang baik selama puluhan tahun. Pengalaman saya, ada wakil Kementerian Kewangan dalam lembaga pengarah. Walaupun seorang tetapi kenyataan pandangan dan sanggahan beliau mampu memberi kesan,” katanya.
Anwar menegaskan, berdasarkan pengalaman beliau sewaktu menjadi Menteri Kewangan (1991 – 1998), walau pun wakil BNM hanya seorang tetapi bantahan pegawai itu pernah membatalkan campurtangan menteri untuk menganugerahkan tender kepada beberapa kroni yang telah diluluskan oleh TH.
“Bila saya dapat laporan saya bersetuju dengan pegawai wakil kementerian, kebetulan waktu itu ketua auditor juga mengatakan ada pelanggaran kepentingan kalau diluluskan.
“Maknanya boleh dibetulkan dengan wakil Kementerian Kewangan yang kuat dalam lembaga pengarah dan pengurusan yang cukup cekap
“Sekali lagi saya tegaskan, 9 juta pendeposit TH dalam bahaya kalau kita serahkan, dan kepentingan BNM itu hanya bidang pengurusan kewangan tetapi kepentingan soal urustadbir dan disiplin aset itu ruang lingkup TH.
“Bagi saya yang penting (bukan penglibatan BNM), pengurusan harus tetap dan jangan izinkan orang politik berkepentingan campurtangan uruskan dana umat Islam yang untuk mengerjakan amal ibadat mereka,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Anwar menegaskan tidak perlu TH diletakkan di bawah BNM kerana terlalu banyak urusan Bank Negara yang tidak terkendali. Misalnya, isu moratorium kepada rakyat masih belum selesai dan tidak perlu bebankan BNM dengan hal-hal TH.
Pemerhati politik berpendapat isu TH sengaja dihidupkan semula oleh kerajaan PN untuk kepentingan politik Pas dan Umno menjelang Pilihan Raya Umum ke 15.
Menurut mereka kedua-dua parti itu telah terlanjur memanipulasi isu TH diperkuda DAP – PH. Oleh itu, perubahan kosmetik terpaksa dilakukan walaupun bersifat sementara dan tidak membawa apa-apa faedah kepada TH.