Seorang peserta perhimpunan Bersih 3.0 cedera di badan dan kepala apabila dipukul bertalu-talu oleh beberapa orang anggota polis.
Ahmad Wasfi Mohd Yusoff berkata, beliau dipukul di Jalan Tun Perak berhampiran Dataran Merdeka ketika perhimpunan telah selesai dan demonstran ingin pulang.
“Saya keluar dari Jalan Masjid India ke Jalan Tun Perak. Seorang polis menyuruh saya pulang. Ketika itu datang seorang polis lain pegang badan saya. Kemudian 3 – 4 orang polis pula datang meluru dan mula memukul saya.
“Salah seorang kata saya ini ‘lauk’. Mereka menumbuk dan heret saya di sepanjang Jalan Tun Perak hingga ke bangunan Kelab Di Raja Selangor (tepi Dataran Merdeka),” katanya.
Beliau bagaimanapun bertahan agar tidak terjatuh. Menurutnya, sekiranya terjatuh maka pukulan dan tendangan akan lebih banyak.
Selepas diheret sepanjang satu kilometer Ahmad dibawa ke perkarangan Kelab Di Raja Selangor yang mana lebih ramai polis menunggu di situ. Di kawasan itu beliau dipukul lagi
“Polis buat barisan. Sebaik saya lalu di depan barisan itu setiap seorang polis pukul, sepak, terajang dan caci maki saya.
“Saya dipukul lebih 40 kali. Setiap kali dipukul saya bertakbir. Saya rasa nyawa 50:50 dan bergantung kepada takdir,” katanya.
Tambah Ahmad, pasukan polis yang menangkap dan memukulnya tidak memakai nombor badan dan nama pada baju. Mereka juga tidak dibekalkan senjata kecuai cota.
“Saya rasa polis memang diarahkan untuk memukul demonstran kerana anggota polis itu tidak ada pistol. Beberapa orang dibekalkan cota
“Di kawasan itu juga saya lihat beberapa orang polis berpakaian baju Bersih sedang berehat,” jelasnya.
Ahmad antara peserta pertama yang ditahan dan dibelasah. Selepas itu, ratusan peserta lain tiba dan di arahkan duduk di kawasan berhampiran bangunan Kelab Di Raja Selangor sehingga lewat petang sebelum dibawa ke Pulapol.
Konon polis terbunuh
Walaupun demonstrasi Bersih 3.0 telah pun berakhir pada pukul 4.00 petang setelah polis menyuraikan orang ramai namun tangkapan dan pembelasahan berlarutan sehingga ke lewat petang.
Salah seorang mangsa keganasan polis, Rusly Yusof atau lebih dikenali sebagai blogger Abu Nawas tidak menyangka tinjauannya ke Dataran Merdeka yang kelihatan telah tenang akhirnya dipukul berpuluh-puluh kali oleh berbelas-belas anggota polis.
“Selepas waktu Asar saya pergi ke Jalan Tun Perak untuk meninjau keadaan. Polis membuat sekatan di hadapan Masjid Jamek. Datuk Chua Jui Meng yang masih berada di situ mengumumkan Bersih telah selesai dan orang ramai mesti bersurai
“Waktu itu saya lihat polis membuka kepungan dan berundur ke Dataran Merdeka. Saya dan beberapa orang berjalan ke Dataran. Saya tidak masuk jauh ke kawasan Dataran tetapi beberapa orang lain masuk ke tengah. Tiba-tiba, 200 orang polis meluru ke arah kami,” katanya.
Menurut Rusly, hanya seorang polis yang memberi arahan kepadanya supaya pulang. Tetapi beliau tidak sempat meninggalkan kawasan sebaliknya dipukul bertalu-talu oleh beberapa orang polis
“Saya dibawa ke bangunan Kelab Di Raja Selangor. Di situ ramai polis pukul saya. Saya tidak ingat berapa puluh kali dihentam dari depan, belakang, kiri dan kanan.
“Di depan saya Tian Chua (Naib Presiden KEADILAN). Dia juga diperlakukan dengan cara yang sama. Dimaki dan dipukul,” katanya.
Beliau ditahan bersama beberapa puluh orang yang dipukul. Katanya, beberapa mangsa yang serius dilihat terbaring dan yang cedera pula tidak diberi rawatan.
“Dua orang India yang ditahan bertegang leher meminta polis merawat orang yang cedera tetapi tidak dilayan. Hanya ketika Tian bersama kami dan bertekak dengan polis minta rawatan barulah polis membenarkan ambulans datang dan membawa orang yang cedera teruk keluar
“Saya sempat berbual dengan seorang polis ketika makan di Pulapol. Dia beritahu punca polis mengamuk petang itu kerana dengar berita kawan mereka terbunuh. Saya kata berita itu tak benar tetapi dia berkeras tidak percaya,” ujarnya.