Sistem pemerintahan Malaysia perlu diperbaiki bagi mengelakkan berulangnya krisis Perlembagaan sebagaimana terjadi sekarang.
Menurut Ahli Parlimen Kangar, Amin Ahmad pelbagai tafsiran ke atas Perlembagaan Persekutuan, sama ada memihak kepada Yang di-Pertuan Agong berasaskan Perkara 150 Perlembagaan atau Perkara 40 yang memberi kuasa penasihat kepada Jemaah Menteri telah mengelirukan rakyat, tentang siapakah yang lebih berkuasa di dalam kerajaan.
“Menjadi harapan saya seluruh krisis ini, tiada pilihan lain, kecuali memperbaiki sistem politik kita supaya aturan yang diperlukan ini lebih jelas.
“Di mana kini terbuka kepada pentafsiran mengelirukan dan menimbulkan suasana tidak tenteram. Hal ini perlu diperbaiki supaya kita dapat wariskan kepada generasi akan datang satu sistem yang lebih jelas dan lebih lancar, dan juga tidak menumpukan kuasa kepada satu pihak tertentu sahaja, kerana apa yang kita lihat hari ini ia sedikit merencatkan proses semak dan imbang dalam demokrasi.
“Kita mahu supaya demokrasi dalam negara baik dan diterjemahkan kepada rakyat, khususnya dalam pandemik Covid 19 ini,” kata Amin.
Selain itu, beliau turut kecewa terhadap sikap kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang tidak konsisten dalam tindakan. Pada awalnya, kata Amin, kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat bagi menasihatkan Yang di-Pertuan Agong berhubung penamatan darurat.
Bagaimanapun, menurut beliau, kabinet PN kemudiannya mengambil sikap menamatkan Darurat pada 21 Julai lalu tanpa merujuk jawatankuasa tersebut atau mendapat perkenan Agong
“Sikap kerajaan nampak tidak tetap. Sebelum ini kerajaan sendiri menubuhkan jawatankuasa menasihati Agong berkaitan darurat tetapi kita tengok dalam seluruh proses ini pandangan jawatankuasa tidak pernah dipertimbangkan dan tidak dijadikan panduan.
“Seolah-olah tidak terlibat langsung dalam seluruh proses. Itu menjadi pertanyaan kita adakah penubuhan jawatankuasa ini hanya pertunjukan oleh kerajaan. Ini mengecewakan,” katanya.
Amin juga berharap sesi Parlimen boleh diteruskan untuk membincangkan pelan pemulihan negara termasuk menyemak semula peruntukan-peruntukan yang diluluskan di bawah Ordinan Darurat sebelum ini yang tidak telus.
“Kita sudah tentu kecewa sebelum ini bila Darurat diumumkan berlaku pengelakkan dari kerajaan untuk membentangkan dan bertanggungjawab kepada Parlimen untuk menjelaskan (dasar-dasar dan pakej ransangan ekonomi),” katanya lagi.