Kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu memberikan justifikasi yang kukuh mengapa rakyat dibenarkan merentas negeri di negeri-negeri atas sebab-sebab tertentu ketika angka kematian akibat Covid 19 semakin tinggi.
Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN, Loh Ker Chean berkata, kelonggaran merentas negeri mungkin akan menyebabkan kes-kes Covid bertambah di negeri-negeri yang dikatakan dalam fasa pemulihan 2 dan 3, biar pun individu yang dibenarkan merentas itu telah divaksin 2 dos.
“Saya menuntut Kerajaan Mahiaddin agar memberikan penjelasan kepada rakyat sebelum pelaksanaan dasar kelonggaran rentas daerah dan negeri bagi pasangan jarak jauh dan ibu bapa yang telah melengkapkan vaksinasi bagi tujuan melawat anak mereka yang akan bermula 10 Ogos nanti.
“Pertama, bolehkah Kerajaan Mahiaddin memberi jaminan bahawa individu yang telah melengkapkan vaksinasi tidak akan menjadi agen penyebar virus Covid-19 dan varian Delta?
“Kedua, adakah imuniti kelompok dapat dicapai dengan hanya 26% populasi menerima dos lengkap yang tercatat pada laporan Kementerian Kesihatan (KKM) pada 7 Ogos yang lalu?
“Ketiga, menurut laporan media KKM pada 17 Julai, aktiviti ziarah menziarahi dipercayai antara punca utama Kluster Rentas Negeri yang tercetus susulan sambutan Hari Raya Aidiladha. Adakah Kerajaan Mahiaddin telah mengambil iktibar daripada insiden tersebut?” tanyanya dalam satu kenyataan.
Ker Chean turut mempersoalkan tanggapan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa pelaksanaan dasar tersebut akan memanfaatkan institusi kekeluargaan dan demi memenuhi hasrat rakyat jelata.
Katanya, merapatkan institusi kekeluargaan hanya sesuai ketika wabak Covid semakin reda bukan ketika negara mencatat kematian 360 orang sehari dan 18,688 kes baharu sebagaimana pada 8 Ogos lalu.
“Angka-angka ini bermakna terdapat seorang pesakit Covid-19 meninggal dunia pada setiap 4 minit dalam tempoh sehari dan puluh ribuan buah keluarga terjejas akibat Covid-19 pada hari tersebut, dengan anggapan setiap kes positif mewakili sebuah institusi kekeluargaan.
“Justeru itu, keputusan Kerajaan Mahiaddin kali ini akan menghancurkan lebih banyak institusi kekeluargaan sekiranya kelonggaran rentas negeri dilaksanakan dan menjadi punca baharu mengakibatkan peningkatan kes positif dan kematian,” katanya lagi.
Bagi Ker Chean, Kerajaan Mahiaddin yang kehilangan majoriti haruslah lebih komited dengan mencari penyelesaian yang praktikal untuk memutuskan rantaian Covid-19, bukan menjadi populis dan menambah risiko kepada pencetusan kluster komuniti.