Perdana Menteri (PM) Tan Sri Mahiaddin Yassin tidak perlu menunggu sehingga September untuk memanggil sidang Parlimen dan membentangkan usul Undi Percaya ke atas pentadbirannya.
Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen menegaskan tidak munasabah untuk Mahiaddin menunggu lebih lama kerana isu keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) amat mustahak dan beliau sepatutnya tidak memimpin atau membuat polisi dalam kerajaan tanpa majoriti.
Tegas William, usul Undi Percaya atau Tidak Percaya perlu disegerakan demi melicinkan pentadbiran negara.
“Sebenarnya sidang Parlimen boleh dipanggil bila-bila masa untuk diadakan usul Undi Tidak Percaya. Ini adalah sebab usul Tidak Percaya adalah perkara penting dan perkara yang perlu diselesaikan dengan segera.
“Memandangkan keadaan sedia ada, tidak munasabah untuk dilewatkan sehingga 6 September depan,” katanya kepada Suara Keadilan.
Sebelum ini Mahiaddin berkata, keabsahan beliau sebagai PM serta kedudukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan ditentukan menerusi usul Undi Percaya yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat, September ini.
PM Mahiaddin tumbang secara teknikalnya pada 8 Julai lalu apabila Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti itu menarik sokongan dari kerajaan PN.