Kerajaan Perikatan Nasional harus memikirkan semula dasar membenarkan individu yang mendapat 2 dos vaksin Covid 19 dibenar merentas negeri.
Menurut ADUN Senggarang, Khairuddin A Rahim, keputusan memberi kelonggaran pergerakan kepada individu-individu yang telah menerima vaksin penuh di negeri yang mencapai tahap 2 telah mengundang rasa ngeri di kalangan banyak pihak.
Tindakan tersebut, katanya seakan menyerupai tindakan melonggarkan tempoh kuarantin bagi mereka yang balik berkempen di Pilihan Raya Negeri Sabah daripada 14 hari kepada 3 hari sahaja yang kemudian menjadi punca gelombang wabak Covid 19 ke seluruh negara
“Memberi kelonggaran pergerakan seperti yang diumumkan kerajaan kepada golongan yang telah menerima vaksin penuh dijangka akan menjadi punca negara menghadapi tahap kedua bencana besar Covid 19 .
“Kebenaran ini terlalu awal dan sepatutnya hanya dapat diberikan pada negeri mencapai tahap 3 yang cakupan vaksinnya tinggi. Tidak mustahil jumlah jangkitan akan meningkat secara mendadak sekali atau dua kali ganda berbanding jumlah jangkitan hari ini, dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan.
Khairuddin membandingkan tindakan tersebut seolah-olah merawat pesakit yang menghadapi pelbagai penyakit di berbagai bahagian anggota tubuh tetapi anehnya rawatan dilakukan hanya di tempat-tempat yang tidak serius dan meninggalkan penyakit-penyakit berat lain tanpa rawatan.
“Keadaan ini akan diparahkan lagi oleh adanya varian-varian baru Covid seperti Delta, Lamda dan lain-lain lagi yang mungkin akan muncul.
“Varian-varian tersebut mempunyai kuasa penyebaran jangkitan yang berganda. Tindakan kerajaan tesebut seperti mengundang bencana yang lebuh buruk.
“Sebaiknya tindakan itu boleh ditunda untuk sementara waktu sehingga negeri-negeri tersebut mencapai tahap vaksin yang memuaskan iaitu pada fasa 3.
“Apa yang perlu kerajaan lakukan dengan bersungguh-sungguh sekarang ini adalah dengan memastikan bekalan vaksin mencukupi dan sasaran 80 peratus rakyat menerima vaksin penuh dapat dilaksanakan dalam waktu sesingkat mungkin,” katanya.
Selain itu, Khairuddin mencadangkan kerajaan membina hospital-hospital Covid sementara untuk mengurangkan bebanan tanggungan hospital-hospital sedia ada sehingga pesakit-pesakit bukan Covid boleh menerima rawatan seperti biasa.
“Banyak bangunan-bangunan kilang yang kosong di kawasan-kawasan perindustiran, kerajaan mungkin boleh menjadikan premis-premis tersebut sebagai hospital-hospital sementara bagi merawat pesakit-pesakit Covid.
“Saya percaya rawatan Covid tidak perlukan hospital-hospital yang mempunyai kelengkapan bilik-bilik pembedahan atau peralatan yang canggih di mana kos pembinaan hospital sementara tersebut tidak begitu tinggi.
“Hospital-hospital sementara boleh dibina dalam berbagai keadaan, yang terpentingnya semua pesakit Covid boleh mendapat rawatan dan tidak terbiar mati di rumah kerana tiada katil kosong di hospital,” katanya lagi.