Sektor kesihatan dan pendidikan harus diberi keutamaan dalam menghadapi pandemik Covid 19
Hal itu ditegaskan dalam pidato Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar pada Sidang Pra-Kemuncak Forum Persahabatan Malaysia-Indonesia secara dalam talian, malam tadi.
Nurul yang membawakan isu sektor kesihatan Malaysia terlebih beban menyeru agar dibangunkan sistem yang lebih ampuh pada masa hadapan.
“Kita nampak kalau sistem kesihatan tidak dibangunkan dengan baik maka sudah tentu ramai yang memerlukan manfaat dan khidmat sokongan bila dilanda kesakitan dan sukar mendapat khidmat terbaik.
“Masyarakat bergantung kepada keutuhan sistem yang dilaburkan secukupnya dari awal.
“Sama juga dengan bidang pendidikan anak-anak di mana yang paling terkebelakang adalah anak-anak golongan B40. Yang sekarang memperlihatkan penambahan (keciciran) dari keluarga yang hilang kerja, putus mata pencarian. Mereka harus menggalas tanggunjawab dan akhirnya kalau kita tidak mengurus kepedulian terhadap wanita dan kanak-kanak ini, kita akan menghadapi lebih banyak masalah dalam 5 hingga 10 tahun mendatang,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan agar kerajaan Malaysia mahu pun Indonesia mencontohi dasar New Zealand memberi dan mengambil tema strategi kesejahteraan kanak-kanak dan belia.
Katanya, hal itu perlu menjadi inspirasi daripada kaca mata semua agensi kerajaan melaksanakan dasar dan program. New Zealand melindungi golongan rentan dengan beri sokongan mencukupi, polisi pembekuan sewa, peningkatan dana bantuan makanan dan pelajaran, termasuk belajar dalam talian.
Selain itu, Nurul turut membangkitkan isu beban wanita yang bertambah dalam senario pandemik Covid.
Beliau menyarankan supaya kerajaan kedua-dua negara melihat isu berkenaan agar wanita diberi bantuan mengurangkan beban hidup dan kemudian peluang kerjaya pasca pandemik yang lebih terjamin.
“Sebelum Covid melanda wanita menghabiskan 6 jam lebih banyak berbanding lelaki untuk jaga anak-anak tanpa dibayar setiap minggu. Semasa Covid 19 naik kepada 7.7 jam seminggu tanpa berbayar.
“Hampir sama dengan pekerjaan sepenuh masa. Ini perlu diberi pengiktirafan kerajaan. Sejak pembelajaran atas talian bermula beban untuk memantau kelas atas talian untuk anak-anak juga jatuh kepada para ibu.
“Dari segi purata bebanan bertambah kepada golongan ibu. Dari segi relaiti hilang peluang untuk membangunkan kerjaya. Laporan McKenzie menunjukkan wanita 1.8 kali lebih berisiko untuk terdedah kepada krisis berbanding lelaki.
“54% golongan wanita hilang pekerjaan. Salah satu punca beban perlindungan yang dibawa secara tidak seimbang kepada golongan wanita. Laporan yang sama juga menyatakan jika beban penjagaan anak-anak dirasa lebih berpanjangan akan memaksa wanita meninggalkan alam pekerjaan secara kekal,” katanya lagi.