Penyokong tegar kerajaan Perikatan Nasional sering mendakwa persidangan Parlimen tidak memberi makna besar kepada perjalanan pentadbiran negara kerana pembangkang hanya menjerit-jerit dan membuat kacau.
Bagi Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, situasi panas di Dewan Rakyat bukan sengaja dirancang oleh Pembangkang sebaliknya kerana menteri yang cuba lari daripada menjawab soalan.
Katanya, tanpa jawapan yang tepat kelemahan kerajaan tidak mungkin boleh diperbaiki.
“Sebab itu saya kata perlu ada Parlimen yang berfungsi. Parlimen ada gaduh, bertengkar tetapi menteri dipaksa menjawab.
“Bila menteri tidak dipaksa menjawab keadaan (pentadbiran) akan lebih lintang pukang,” katanya dalam siaran langsung di Facebook, malam tadi.
Pengerusi Pakatan Harapan itu turut menyentuh mengenai prestasi ekonomi Malaysia yang kian parah dengan pertumbuhan ekonomi suku pertama dan kedua antara tercorot di rantau Asia.
“Unjuran pertumbuhan ekonomi kita tercorot.
“Saya tidak mahu kita rasa terbeban dengan unjuran tercorot 4.4 % suku tahun kedua. Setelah tercorot 4.1% suku pertama. Tetapi masalahnya ialah jumlah penganggur bertambah. Gaji yang bekerja pun menurun antara 9 – 6%.
“Kemudian simpanan KWSP sudah hampir hilang kerana 6.3 juta rakyat Malaysia hanya ada simpanan di RM10,000 sahaja. Kalau dia bersara minggu depan maka ada RM10,000 ribu untuk bertahan,” katanya.
Keadaan terdesak itu, menurut Anwar, akibat kerajaan yang tidak stabil dan gusarnya pelaburan langsung asing (FDI) untuk masuk menanam modal.
Beliau turut menyalahkan peraturan Prosedur Operasi Piawai (SOP) Covid 19 yang kerap kali bertukar menyebabkan sukarnya perjalanan perniagaan.
“Tak perlu baca laporan kedudukan ekonomi yang hampir lumpuh. Semua ini saya katakan sebab perancangan yang lemah dan kurang fokus oleh kerajaan.
“Kita telah jelaskan mengenai ekonomi ini perlukan kerajaan stabil dan diyakini. Dalam keadaan sekarang kita lihat badan perniagaan Jepun, Jerman menjelaskan dasar kita ini caca marba.
“Sebab itu itu kita harus tekankan perlunya peraturan tetap. Tidak boleh ambil pendekatan setahun lalu, ulang pendekatan sama. Ini yang menjadi masalah dengan kerajaan kerana tiada tumpuan
“Kerajaan perlu memperlihatkan dasar yang jelas dalam beberapa bidang ekonomi dengan syarat yang ketat dengan SOP dan vaksin. Harus dibuka bertahap supaya orang boleh cari makan dan hidup.
“Betul ada mengatakan ini juga risiko. Risikonya ialah kerana kilang untung ratusan juta dibuka tetapi keselesaan hidup pekerjanya tak ke mana.
“Diperosok ke satu tempat, puluhan orang satu bilik,” katanya.
Tambah Anwar, selagi pemimpin negara tidak tegas melaksanakan dasar dan dikawal oleh oligarki yang menguasai ekonomi maka kesejahteraan pekerja dan hak rakyat marhaen tidak akan mungkin diperbaiki.
“Hal ini boleh ditangani kalau pemimpin tidak tunduk kepada koporat besar tetapi tunduk kepada pertauran dan undang-undang.
“Kalau tegas beberapa bidang boleh dibuka, seperti negara lain. Maka ada harapan ekonomi itu meningkat dan perniagaan sama ada Perusahaan Kecil sederhana atau besar boleh dibuka bertahap.
“Peraturan perlu jelas, kalau sering bertukar orang tak faham dan tidak akan ikut,” katanya lagi.