Spekulasi kemungkinan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggantikan Perdana Menteri (PM) Mahiaddin Yassin sekiranya meletak jawatan hari ini terus mendapat kecaman rakyat.
Bagi Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, Ismail bukanlah calon yang sesuai untuk menggalas tugas PM memandangkan beliau tidak pernah berjaya mengawal wabak Covid 19 ketika menjadi Menteri Pertahanan yang berkuasa penuh mengawal pergerakan rakyat.
Ismail juga, menurut Fahmi tidak sebagaimana pemimpin Umno lain yang berprinsip menarik sokongan kepada Perikatan Nasional, sebaliknya terus menyokong tindakan Mahiaddin menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong dalam isu pemansuhan Ordinan Darurat
“Saya meneliti beberapa perbincangan di media sosial dan di kalangan para wartawan yang memberi andaian Ismail Sabri, Ahli Parlimen Bera bakal menjadi calon PM bagi Perikatan Nasional, sekiranya Mahiaddin Yassin meletakkan jawatan
“Saya berpandangan ini adalah satu langkah salah yang tidak patut disokong Ahli-ahli Parlimen, sama ada di pihak pembangkang mahupun dari kalangan parti-parti kerajaan.
“Ismail Sabri sebagai seorang anak Pahang langsung tidak kelihatan mempertahan institusi Raja Berperlembagaan tatkala kenyataan Istana Negara 29 Julai lalu merakamkan rasa amat dukacita Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di atas tindak-tanduk ahli Jemaah Menteri yang ingkar titah perkenan Seri Paduka Baginda untuk membahas dan memutuskan Ordinan-Ordinan Darurat di Parlimen.
“Memandangkan Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Jemaah Menteri hendaklah bertanggungjawab secara bersama kepada Parlimen, maka Ismail Sabri turut terlibat dalam keputusan Jemaah Menteri untuk tidak melaksana titah perkenan Seri Paduka Baginda tersebut,” katanya.
Menurut Pengarah Komunikasi KEADILAN itu lagi, Ismail juga perlu bertanggungjawab di atas pelan melawan Covid 19 yang gagal dan meletak jawatan, bukannya dinaikkan pangkat sebagai PM.
“Sebagai anggota kanan Jemaah Menteri, Ismail turut bersama bertanggungjawab di atas segala langkah dan dasar yang telah gagal dan secara langsung menjerumuskan negara ke dalam kancah dan kemelut yang kita saksikan hari ini. Ini termasuklah ‘total lockdown’ separuh masak, SOP yang dikuatkuasa secara ‘Antara Dua Darjat’, dan kelewatan pemberian vaksin sehingga kita saksikan natijahnya setiap hari dengan jumlah kematian yang begitu tinggi.
“Oleh itu, mereka yang menyokong seorang Ahli Parlimen seperti Ismail Sabri hanya menyokong diteruskan kegagalan Perikatan Nasional.
“Malaysia perlukan tenaga baharu, konfigurasi kepimpinan baharu, malah mungkin juga sebuah jajaran baharu untuk memastikan kita mampu menyelesaikan masalah-masalah pandemik dan kebajikan rakyat secara menyeluruh dan bersama,” katanya lagi.