Gabungan Bertindak Memorandum Rakyat Malaysia (GBMRM) hari ini menghantar memorandum ke – 9 ke Istana Negara memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong akan kegusaran majoriti rakyat terhadap kemungkinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Perdana Menteri (PM) Malaysia yang baharu.
Menurut Koordinator GBMRM, Mustapa Mansor Amer Mohd Isa, penolakan rakyat ke atas Ismail adalah ‘real’ dan Raja-raja Melayu yang akan bermesyuarat pada petang ini diharap dapat membuat pertimbangan dari pelbagai sudut sebelum mengesahkan mana-mana calon diangkat ke jawatan PM.
“Tujuan kami menyerahkan memorandum kali ke 9 adalah berkaitan hal semasa yang terjadi. Kita sedia maklum ura-ura mengatakan YB Bera atau Datuk Ismail Sabri Yaakob akan menjadi PM
“Isu ini yang kita angkat. Sebab majoriti rakyat Malaysia tidak boleh menerima sekiranya hal itu menjadi kenyataan. Lihat sahaja pasaran saham secara mendadak jatuh. Begitu juga ada sahabat kita membuat petisyen di change.org. Setakat ini sudah hampir 400k tandatangan diperolehi.
“Rakyat secara umumnya menolak. Dan seperti mana kita maklum Covid 19 juga meningkat. Yang menjadi persoalan kita apakah bezanya kerajaan Perikatan Nasional (PN) 1.0 dengan PN 2.0? Orang yang sama. Rakyat tak mahu orang yang sama. Beberapa kali rakyat hantar mesej mereka tak mahu orang yang sama,” kata Mustapa kepada wartawan dalam sidang media di luar pintu 3, Istana Negara, pagi tadi.
Tegas beliau, pelantikan PM pada waktu pandemik Covid 19 amat berbeza dengan syarat pelantikan pada waktu biasa.
Katanya, ketika pandemik seseorang PM haruslah berwibawa menyatukan rakyat dan mampu membawa keluar negara melalui ‘exit plan’ yang diyakini dari sudut menyelamatkan nyawa mahu pun memulihkan ekonomi.
“Beberapa pandangan pakar mengatakan bahawa lebih penting saat ini kita mendapatkan seorang PM yang boleh bawa Malaysia keluar dari kemelut. Ini bukan persoalan siapa (peribadi PM), bukan. Ini masalah negara sedang berada dalam krisis. Kalau dibiarkan ‘tukar baju’ tetapi orang dalam gabungan yang sama, sudah pastilah ada masalah. Iaitu kestabilan politik tidak dapat dijamin.
“Lebih parah lagi semalam tersebar di media di mana Tan Sri Mahiaddin mengeluarkan kenyataan sokongan dari PN (kepada Ismail) bersyarat.
“Bersyarat ini banyak implikasi. Sebab sokongan diberikan 50 Ahli Parlimen PN yang bersyarat ini pasti menimbulkan masalah kepada politik kita di Malaysia.
“Sebab itu kita hantar memorandum supaya Duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu dapat membuat pertimbangan sewajarnya,” kata Mustapa.
Menurut beliau lagi, dalam situasi kecemasan, pelantikan PM bukanlah terhad mengambil kira soal majoriti tetapi perlu memastikan agar negara tidak gagal melawan Covid 19, dan tidak akan menghadapi kempen #KerajaanGagal dari rakyat selepas dilantik.
“Ini hal sangat penting. Walaupun dapat majoriti tetapi apa maknanya kalau majoriti yang diperolehi tidak boleh merubah keadaan politik dan masalah yang kita hadapi.
“Tambahan pula Ismail Menteri Kanan dalam kerajaan PN yang mengurus segala permasalah Covid 19 dan gagal. Ini menjadi persoalan besar,” katanya lagi.
Majlis Raja-raja Melayu dijadualkan akan bermesyuarat pada petang ini membincangkan isu pelantikan PM ke 9. Dijangka nama PM akan diumumkan selepas mesyuarat tersebut berakhir.