Perdana Menteri (PM) ke 9 Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diharap akan melaksanakan nasihat Yang di-Pertuan Agong untuk melaksanakan pentadbiran negara secara bekerjasama dengan gabungan pembangkang bagi menangani wabak Covid 19 secara lebih berkesan.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Johor, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, kerjasama bi-partisan itu amat penting bagi mempercepat usaha menangani wabak serta memulihkan ekonomi negara.
“Saya hormati proses yang telah dilakukan dan berharap Perdana Menteri yang terpilih benar-benar memikirkan soal rakyat, kesihatan dan ekonomi negara.
“Juga terserah kepada Perdana Menteri untuk membuktikan tindakan beliau dalam akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong pada 18 Ogos lalu supaya “…mewujudkan perpaduan dan penyatuan semua parti-parti politik…” “…yang menang hulur tangan pada yang tidak berjaya…bekerja dalam satu pasukan” “…yang menang tidak menang semua, yang kalah pula tidak kalah semua”,” katanya kepada Suara Keadilan.
Selain itu, Ahli Parlimen Ledang itu juga mahu Ismail tidak mengulangi polisi yang gagal sewaktu beliau berada di bawah pentadbiran PM Mahiaddin Yassin.
“Beliau (Ismail) juga perlu membuktikan apa tindakan berbeza daripada yang dilakukan semasa beliau bersama-sama dalam kerajaan PN yang lalu, yang jelas gagal dalam membela kesihatan rakyat, mengawal Covid-19 dan mengemudi ekonomi yang parah.
“Rakyat akan perhatikan setiap langkah yang diambil,” katanya lagi.