Tiada desakan meminta Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berundur dalam mesyuarat khas PH pagi tadi.
Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin sebaliknya menegaskan mesyuarat tersebut hanya membincangkan langkah ke hadapan menuju Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 untuk gabungan tersebut.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya wujud khabar angin itu dan tidak timbul desakan oleh kedua-dua komponen penting PH untuk Datuk Seri Anwar meletak jawatan sebagai Ketua Pembangkang
“Yang kita bincangkan adalah ke depan ini bagaimana kita akan bawa suara rakyat bersama rakan-rakan pembangkang lain yang telah kita tunjukkan semasa pemilihan Perdana Menteri (PM) kesembilan.
“Saya percaya ada puak yang tidak senang dengan muafakat ini dan mereka mencipta khabar angin yang berniat jahat dan tentunya perkara ini tidak timbul sama sekali,” kata beliau dipetik Astro Awani.
Menurut Shamsul, isu utama adalah untuk merintis semula kerjasama PH Plus bagi menghadapi PRU 15 yang dijangka selewat-lewatnya pada awal 2023.
Selain itu, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad turut menafikan wujud desakan tertentu dalam mesyuarat berkenaan.
Kata beliau, kegagalan PH untuk mengambil alih kuasa tidak boleh disalahkan kepada Anwar kerana Ahli Parlimen PN dan Umno telah pun memihak sejak dari awal.
Sebaliknya, tambah Khalid, ‘drama’ perlantikan PM tersebut telah menyatukan kembali PH Plus yang telah setahun tidak kelihatan sepasukan.