Kerjasama kerajaan – pembangkang pada era Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu didasarkan atas keikhlasan, saling menghormati dan melaksanakan idea yang baik dari pelbagai pihak.
Oleh itu, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menyarankan agar kerajaan BN-Perikatan Nasional terlebih dahulu menerima dasar dan langkah reformasi serta penambahbaikan yang perlu dilakukan bagi menyelamatkan rakyat dari wabak Covid-19 dan krisis ekonomi sebagaimana disarankan kepada pentadbiran PM Mahiaddin Yassin, sebelum ini.
“Kerajaan BN-PN perlu menerima reformasi dan penambahbaikan Pelan Pemulihan Negara dengan memastikan program saringan ujian awam “FTTIS+V” (find, test, trace, isolate and support plus vaccinate) dilaksana dan memastikan sokongan tambahan diberi kepada sistem kesihatan awam
“Kerajaan BN-PN juga harus menerima reformasi fiskal dengan meningkatkan jumlah bantuan untuk rakyat, termasuk suntikan tunai RM45 bilion secara langsung kepada pekerja, perniagaan dan sektor kesihatan, serta melaksana program moratorium pinjaman bank tanpa faedah demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat,” kata kenyataan Majlis Presiden usai mesyuarat gabungan itu, petang tadi.
Menurut kenyataan itu lagi, ‘reformasi institusi’ dengan memperkasa Parlimen melalui penggubalan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen, memperkukuh fungsi semak imbang Parlimen, serta mengiktiraf peranan Pembangkang perlu dilakukan jika kerajaan benar-benar ikhlas.
Selain itu, kata mereka Reformasi perundangan, termasuk melaksanakan Undi 18 dan Akta Anti Lompat Parti perlu dibuat bagi menjamin keteguhan amalan demokrasi di Malaysia.
“Memandangkan Kerajaan terdahulu yang dipimpin mantan PM, Tan Sri Mahiaddin Yassin, gagal menangani pelbagai masalah termasuk isu Covid-19, dan memandangkan Jemaah Menteri yang baharu bakal dibentuk, PH berpandangan Perdana Menteri wajar memberikan pertimbangan terhadap isu-isu yang dibangkitkan di atas, demi rakyat dan negara,” kata kenyataan itu lagi.
Kenyataan bersama tersebut dikeluarkan oleh Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.