Pandemik Covid 19 dan kelewatan kerajaan Perikatan Nasional memberi vaksin kepada rakyat Malaysia menyebabkan ribuan anak-anak menjadi yatim kerana kematian ibu bapa mereka.
Menurut Ahli Majlis Pimpinan Wanita KEADILAN Pusat, Mahani Abdul Moin, laporan media yang menyebut 1,517 pelajar di seluruh negara menghadapi kesan emosi mendalam akibat kehilangan orang tua mereka menimbulkan pertanyaan mengenai kegagalan kerajaan mengambil langkah sesuai menanganinya.
“Sebagai aktivis masyarakat, saya sering terlibat dengan urusan kanak-kanak dan wanita yang mengalami tekanan perasaan dan sangat memahami apa yang dirasai oleh mereka.
“Justeru, pada saat pelajar berkenaan bergelar anak yatim, selain bantuan fizikal, mereka juga sangat memerlukan bimbingan dan kaunseling serta perhatian yang lebih bagi memulihkan semangat serta emosi
“Malang sekali apabila usaha dari pihak kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Kebajikan dan masyarakat sangat mendukacitakan apabila dinyatakan hanya 33 pelajar yatim piatu seluruh negara dikenalpasti akan diberi bantuan dan ditempatkan di 7 pusat perlindungan.
“Persoalannya apakah penempatan anak-anak yatim berkenaan dibuat dengan teliti dan teratur bukan ibarat melepas batuk ditangga sahaja?” tanyanya.
Tambah Mahani, pihak yang mengurus kebajikan anak-anak yatim tersebut perlu melakukan proses yang telus dan adil dalam mengenalpasti dan memilih anak-anak yatim yang harus diutamakan mendapat bantuan atau ditempatkan dipusat jagaan kelak.
Selain itu, beliau turut menggesa menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang akan dilantik agar mengambil berat dan mencari solusi berkenaan isu terbabit.
“Dengan itu, Perdana Menteri dan menteri KPWKM yang baharu harus segera menangani isu pemberian vaksin dan memastikan tiada berlaku penyelewengan dan ketirisan dalam urusan menyantuni anak-anak yatim akibat kematian ibu bapa mangsa Covid 19.
“Tentunya tidak sedikit beban dosa yang akan ditanggung oleh mereka yang tidak amanah dalam menjaga hak dan keperluan anak-anak yatim ini,” katanya lagi.