UPKO sah diterima sebagai anggota terbaharu Pakatan Harapan (PH) hari ini.
Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, gabungan itu sentiasa membuka pintu kepada mana-mana parti yang ingin menyertainya dan melakar strategi bersama untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.
“Pada waktu ini, sukacita saya umumkan bahawa Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) telah membuat permohonan rasmi untuk menyertai Pakatan Harapan. Mesyuarat Majlis Presiden hari ini telah membuat keputusan menerima UPKO sebagai salah satu parti komponen PH
“Pakatan Harapan percaya penyertaan UPKO ini akan terus memperkukuh kerjasama terutama dalam persiapan menuju PRU 15,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, beliau yang juga Setiausaha Agung KEADILAN turut mengucapkan penghargaan kepada parti-parti pembangkang yang berdiri teguh di belakang pencalonan Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai PM minggu lalu.
“Bagi pihak Majlis Presiden PH, saya ingin mengucapkan terima kasih sekali lagi kepada 105 Ahli Parlimen pembangkang dari WARISAN, PEJUANG, UPKO, PSB, MUDA dan Bebas yang telah mencalonkan Datuk Seri Anwar sebagai Perdana Menteri minggu lalu.
“Dalam semangat ‘Khemah Besar’ yang dinyatakan di dalam Ketetapan Port Dickson, PH akan meneruskan serta memperkukuh kerjasama dengan WARISAN, PEJUANG, UPKO, PSB, MUDA dan Bebas demi memastikan blok pembangkang bertambah berkesan dan bersiap sedia menghadapi PRU ke-15,” katanya.
Sehubungan itu, Saifuddin mengharapkan perjumpaan dan perbincangan sesama pembangkang yang akan diadakan dalam masa terdekat akan dihadiri kesemua parti dan Ahli Parlimen Bebas yang anti kerajaan BN-Perikatan Nasional.
“Seperti yang telah diumum sebelum ini, satu pertemuan ketua-ketua parti Pembangkang akan diadakan dalam masa terdekat untuk membincangkan isu-isu politik semasa termasuk persiapan menghadapi sidang Parlimen yang bakal bermula pada 6 September nanti
“Pintu PH sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan parti-parti pembangkang yang lain, malah kami juga mengalu-alukan sekiranya parti-parti ini membuat permohonan untuk menyertai Pakatan Harapan,” katanya lagi.