Pelantikan Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai Menteri Wilayah Persekutuan meningkatkan rasa tidak puas hati dalam kalangan warga kota di Lembah Kelang serta sekitarnya.
Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Wilayah Persekutuan, Zahir Hassan, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sepatutnya ‘lebih serius’ dalam memikirkan hal-hal penting seperti lantikan menteri kabinet.
Menurut beliau, Shahidan Kassim yang tidak pernah menetap di Kuala Lumpur atau kawasan Lembah Kelang dan tidak faham dengan kehendak warga di sana maka tidak seharusnya menjawat Menteri Wilayah.
“Pengumuman kabinet PM, Datuk Seri Ismail Sabri lebih kepada proses ‘rombakan kabinet’ dengan majoriti menteri masih mengekalkan jawatan mereka.
“Namun apa yang mengejutkan, pelantikan Datuk Seri Shahidan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan. Ia adalah satu keputusan yang amat janggal dan langsung tidak pernah terlintas di fikiran rakyat tempatan. Menteri Wilayah seharusnya seorang yang tinggal dan bergaul dengan masyarakat setempat setiap hari.
“Keadaan masyarakat miskin di kota raya Kuala Lumpur dikhuatiri tidak dapat diselami oleh seseorang berlatar belakang seperti beliau,” katanya.
Bagi Zahir, Shahidan yang hanya mempunyai pengalaman mentadbir negeri Perlis yang jauh berbeza latar sosial penduduknya akan sangat sukar untuk memberikan input idea baharu kepada masyarakat kosmopolitan seperti di Kuala Lumpur, Putrajaya atau Labuan.
Zahir mengingatkan Shahidan bahawa terdapat rencam masalah yang dihadapi populasi bandar, yang seharusnya ditangani dengan cara yang berbeza berbanding di negeri yang penduduknya majoriti tinggal di kawasan luar bandar.
“PM dalam ucapannya telah memberikan satu jaminan dalam tempoh 100 hari yang pertama, kesemua Menteri perlu membuktikan pencapaian kementerian mereka. Suka saya ingatkan kepada Menteri Wilayah Persekutuan yang baharu, ada beberapa isu yang sepatutnya diberikan tumpuan sepenuhnya.
“Perancangan jangka pendek dan panjang harus segera dirangka untuk isu kemiskinan bandar, keciciran pembelajaran kanak-kanak B40, kehilangan pendapatan harian penjaja bandar, dan isu kehilangan pekerjaan. Dalam tempoh 100 hari, beliau sepatutnya telah merangka perancangan tindakan untuk kesemua isu di atas,” katanya lagi.
Justeru, Zahir berkata, masalah di Wilayah Persekutuan memerlukan tingkat kefahaman yang rumit dari menterinya dan tekad politik untuk melakukan perubahan.
Hal itu juga, kata Zahir, memerlukan tindakan yang mencabar status quo. Namun, melihatkan kepada pencapaian politik Shahidan selama ini, dikhuatiri rakyat Wilayah Persekutuan cuma boleh mengharapkan pertukaran kerajaan dalam Pilihan Raya Umum yang akan datang.