Pelantikan kabinet Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terus dikritik sebagai mengitar semula muka-muka lama yang telah gagal.
Bagi Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil, tidak banyak yang boleh diharapkan daripada kabinet yang hampir sama saiz dan hampir serupa ahli politik yang mengisinya.
“Reaksi awal kita ramai Ahli Parlimen tidak teruja. Ada yang berkata senarai ini dikitar semula, bila kita teliti dari 31 menteri campur PM, jumlah keseluruhan ada 32. Kita lihat dalam jumlah itu ada 15 menteri yang masih memegang potforlio sama.
“Respons dari orang ramai ada cemuhan, ejekan, ada yang tunjuk gambar kabinet lama, kabinet baru tetapi ubah sedikit sahaja dalam gambar. Ada yang tunjuk Mr Bean dalam satu adegan ikonik, dia cuba tengok kawasan dia punya jawapan ujian, kawan dia tulis kabinet Mahiaddin, Mr Bean pula tulis kabinet Ismail Sabri.
“Tidak ada respons yang terlalu mengujakan. Ada media mengatakan kabinet ini sama saiz,” katanya dalam temubual maya bertajuk: “Kabinet Ismail Sabri?”, semalam.
Menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai itu lagi, kabinet ini lebih dijangkakan berkesinabungan dasar-dasar dan pelaksanaannya daripada polisi era PM Mahiaddin Yassin.
“Masalahnya kabinet bawah Mahiaddin tidak berjaya atasi masalah di bawah beberapa kementerian. Misalnya banyak menteri masih sama. Contoh, MITI yang membenarkan kilang-kilang dibuka menterinya sama. Kalau kita lihat Dr Adham Baba pindah ke kementerian lain tetapi waktu dia menjawat Menteri Kesihatan, Dr Adham banyak buat kesilapan. Dia tidak begitu fasih bila berhadapan dengan media dan menjadi bahan ketawa netizen.
“Khairy pula mengusahakan vaksin tetapi bila kita teliti pemberian vaksin kita lihat banyak kes positif meningkat dengan mendadak. Misalnya Sabah, dan negeri ini terima jumlah vaksin rendah kerana kuantiti vaksin tidak cukup untuk semua negeri.
“Rakyat Malaysia terus gelisah adakah kabinet Ismail ini akan berjaya menangani masalah Covid 19 dan kelesuan ekonomi serta masalah rakyat lain,” katanya.
Tambah beliau, biar pun Ismail telah menundang pemimpin pembangkang untuk bekerjasama dengan kerajaan PN namun keadaan masih belum menjamin pemerintahan Ismail akan lebih baik daripada Mahiaddin.
“Masalah sekarang perit dan sesiapa jadi kerajaan menghadapi keadaan sukar. Menteri Kewangan Tengku Zafrul yang era Mahiaddin dapat kecaman dari Umno kekal, tetapi kalau kita ingat waktu beliau di kementerian berlaku masalah pengeluaran KWSP, bantuan tidak mencukupi, moratorium ada kadar faedah, dan mereka ini yang kembali menggalas tugas kementerian masing-masing.
“Saya tidak pasti pembangkang ingin bersama kerajaan yang sedemikian rupa. Tetapi kami akan fokus isu reformasi institusi dan penambahbaikan program yang diharap pro rakyat dan semak imbang di Parlimen dipertingkat,” katanya.
Mengulas mengenai arahan Ismail agar para menterinya menunjukkan prestasi selepas 100 hari, Fahmi berpendapat hal itu tidak perlu kerana 15 menteri memegang potforlio yang sama dan mereka tentunya telah membuat perancangan sebelum ini.
Oleh itu, katanya lebih baik laporan dibentangkan pada bulan pertama pentadbiran Ismail.
“Saya rasa kenyataan itu (100 hari) tidak masuk akal kerana 15 dari menteri ini pegang jawatan yang sama. Jadi tak ada tempoh bulan madu atau apa, mereka kena buat sekarang.
“Mereka dah kenal kementerian mereka, mesti ada cadangan. Menteri ini perlu bentangkan kepada rakyat apa perancangan mereka sebulan akan datang, bukan selepas 100 hari,” katanya
Beliau juga mengkritik Menteri Pendidikan Radzi Jidin yang sebelum ini mengumumkan akan membuka sekolah pada sesi Oktober yang hampir kepada cuti penggal
“Kalau kita lihat pengumuman Radzi sekolah akan dibuka bulan Oktober. Nak buka apa bulan Oktober? Kita masuk bulan September, apa perancangannya? Kalau tengok kalendar sekolah banyak mula tutup bulan Oktober – November. Sekolah apa yang dia nak buat?
“Kecuali khusus untuk tingkatan 5. Saya tidak nampak pandangan atau cadangan benas. Kesan kegagalan bentuk dasar ini kesan jangka panjangnya serius. Anak-anak 2 tahun tak sekolah.
“Saya juga terkejut dalam media sosial ada satu twitter dari agensi kerajaan, sampai dia terpaksa text Dr Maszlee kerana kementerian sekarang ini tidak berfungsi,” katanya lagi.