Anak muda Malaysia belum lagi merdeka secara sesungguhnya di bawah pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional 2.0 yang gagal.
Menurut Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Akmal Nasir, perebutan kuasa yang berterusan antara parti pemerintah di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyebabkan nasib anak muda semakin terabai.
Dalam perutusan sempena Hari Kebangsaan, Akmal berkata, generasi terdahulu bersusah payah untuk memerdekakan tanah air dari penjajah, manakala hari ini anak muda dipaksa pula meneruskan perjuangan #Lawan untuk memerdekakan negara daripada kerajaan yang tidak pro-rakyat dan menyalahgunakan kuasa.
“Generasi baru anak muda perlu mencari makna baru menghayati sambutan kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos setiap tahun.
“Perkembangan politik dan ekonomi tanah air sejak beberapa dekad lalu telah mencetuskan pelbagai siri kebangkitan rakyat daripada sebarang bentuk penindasan dan cengkaman.
“Sebagai contoh, kempen #Lawan yang digerakkan sekumpulan anak muda baru-baru ini menzahirkan pegangan prinsip anak muda yang menolak corak pemerintahan tidak mementingkan urus tadbir yang baik dan ekonomi rakyat, khususnya ketika pandemik Covid-19.
“Manakala percaturan politik berpanjangan pula menjejaskan usaha menangani kesan pandemik yang telah menyebabkan anak muda berdepan masalah pengangguran serta kehilangan sumber pendapatan selain daripada isu kesihatan mental yang kian runcing.
“Ekonomi dan kehidupan anak muda semakin tersepit, tatkala orang-orang politik sibuk mengagih jawatan dan kuasa,” katanya.
Kagagalan kerajaan menjaga nyawa rakyat dengan kes Covid kekal tinggi, menurut Akmal, mewajarkan generasi muda memperkuat perjuangan demokrasi dan bertindak memilih kerajaan yang lebih baik pada masa akan datang.
Katanya, anak muda perlu prihatin kepada proses berkerajaan dan perlu menguatkan tekad untuk berkempen kepada massa bagi menemukan pemerintah yang lebih baik.
“Generasi baru anak muda perlu menggerap erti semangat kemerdekaan dengan menuntut sebuah kerajaan yang mementingkan nilai-nilai demokrasi dan kebajikan rakyat.
“Tanggal 31 Ogos seharusnya menjadi tarikh untuk kita memperbaharui semangat dan iltizam bersama dalam usaha kita membentuk sebuah negara Malaysia yang benar-benar bebas daripada sebarang bentuk cengkaman yang membebankan rakyat,” katanya lagi.
Akmal menegaskan, walau dalam kesusahan menghadapi pandemik Covid-19, semangat toleransi dan sikap saling bantu-membantu antara rakyat berbilang kaum harus kekal menjadi simbol kesatuan masyarakat Malaysia.