Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia mengecam tindakan mengugut seorang aktivis anak muda saudari Shakila Zen (gambar) oleh individu tertentu yang telah mendatangkan ancaman keselamatan terhadap beliau.
Menurut Ketua AMK Malaysia, Akmal Nasir, ugutan terhadap aktivis alam sekitar yang giat melawan aktiviti pemusnahan alam terutama hutan simpan dan penambakan pantai itu tidak sewajarnya berlaku dalam sebuah masyarakat yang bertamadun.
“AMK dimaklumkan pada 30 Ogos lalu, saudari Shakila telah menerima satu bungkusan daripada individu tidak dikenali mengandungi surat ugutan serta replika tangan yang dipotong dan berlumuran darah.
“Pada hari berikutnya, 31 Ogos, beliau telah menerima satu pesanan teks di aplikasi Whatsapp yang berbaur seksual serta mendedahkan maklumat peribadi beliau.
“Beliau telah membuat dua laporan polis berkenaan dengan kejadian tersebut pada 30 dan 31 Ogos di IPD Klang Utara.
“Pada hemat kami, tindakan mengugut dan mengancam merupakan satu tindakan intimidasi yang sangat melampau apatah lagi ugutan itu seperti membawa kepada ugutan mencederakan malah membunuh. Tindakan ini sangat tidak boleh diterima,” katanya.
Menurut Ahli Parlimen Johor Bahru itu lagi, pihak polis perlu menyegerakan siasatan terhadap kes Shakila dan menangkap pelakunya segera serta mendedahkan pihak yang mengupah pelaku tersebut untuk mengugut.
“Saya sendiri pernah melalui perkara sama, apabila berdepan ugutan bunuh pihak tertentu pada akhir 2019, namun langsung tidak melemahkan semangat dan gerak kerja.
“Budaya samseng mengugut dan mengancam aktivis wanita yang bersuara tidak boleh dibiarkan. Ini akan jadi satu amalan biasa ‘kuasa besar’ yang tergugat dengan suara anak muda dan perkara ini perlu ditamatkan,” katanya.
Tegas Akmal, AMK akan terus menyokong dan mendokong suara anak muda dalam melawan sistem yang tidak adil, penindasan, korupsi serta pemusnahan alam.
Katanya, AMK bersolidariti buat Shakila Zen.