Kerajaan Perikatan Nasional (PN) 2.0 genap dua minggu ditubuhkan namun tidak kelihatan apakah perancangan masa hadapan yang ditawarkan kepada rakyat kecuali meneruskan kegagalan pentadbiran Mahiaddin Yassin sebelum ini.
Bagi Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, kerajaan yang ada sekarang tidak langsung memberi solusi kepada masalah rakyat, sebaliknya menambah beban ke atas rakyat yang sudah pun tidak mampu memikul beban sedia ada.
“Bermulanya episod tiga orang menjadi PM dalam satu penggal, sebenarnya PN dan BN tidak ada asas ke arah mana mereka mahu pergi.
“Sebab itu kita tidak terperanjat berlaku longgokan jawatan menteri yang tidak berkurang pun, malah dilantik mereka yang telah gagal dalam kerajaan lepas. Kalau kita lihat kepimpinan mereka, tak mungkin ada harapan boleh kita letakkan,” katanya dalam siaran Borak Dahsyat di Facebook, bertajuk “Satu Pilihan Raya, Tiga Perdana Menteri”, malam tadi.
Menurut Abdullah lagi, rakyat baru-baru ini telah termakan umpan oleh Umno kononnya mendesak PM Mahiaddin meletak jawatan untuk membentuk kerajaan baharu yang membela nasib rakyat, bagaimanapun selepas kepimpinan bertukar tiada satu pun yang lebih baik daripada sebelumnya.
“Rakyat sebaliknya dalam keadaan sensara luar biasa. Kita tuntut lakukan perubahan tetapi yang dilakukan kerajaan sama sahaja.
“Sebelum ini Majlis Keselamatan Negara dipimpin orang yang sama, Ismail Sabri. Kegagalan itu berada di kemuncak, bila dilantik menteri MITI orang yang sama yang membenarkan kilang dibuka dan mencetuskan ledakan virus Covid 19.
“Oleh itu, untuk kita mengatakan Ismail akan memberikan ruang luas kepada dasar baru, saya langsung tak nampak dasar apa yang dia nak bawa.
“Saya tak nampak kabinet ada master plan, apa yang akan dilakukan. Yang saya nampak ia akan balik kepada asal (pentadbiran Mahiaddin),” katanya.
Abdullah mengingatkan agar rakyat sedar bahawa kemusnahan negara akibat pandemik Covid 19 tidak akan berlaku sekiranya kerajaan Pakatan Harapan terus memerintah.
Dengan kes harian Covid kurang daripada 50 ketika PH dijatuhkan, sudah cukup membuktikan Menteri Kesihatan ketika itu Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mampu menangani wabak berkenaan.
“Apabila berlaku pengkhianatan, Covid merebak. Sedangkan sebelum itu wabak ini dikawal selia dengan baik oleh Dr Dzulkefly dan Dr Lim Boon Chye. Waktu (permulaan Covid) itu jugalah mereka melakukan serang hendap dan merampas kuasa.
“Kesialan itu bermula dari Langkah Sheraton dan berlanjutan sehingga hari ini.
“Apakah langkah yang membolehkan penyelesaian dilakukan?
“Kita tidak nampak kerana PN tiada manifesto. Dia tak ada aturan untuk melangkah menyelesaikan masalah,” katanya.
Ulas Abdullah lagi, kacau bilau yang terjadi hari ini mungkin juga disebabkan kerajaan PN ‘dimakan’ sumpah jawatan.
Katanya, setiap Ahli Parlimen bersumpah untuk memberi khidmat terbaik buat rakyat namun apabila mereka menggunakan jawatan itu untuk berkhianat demi keuntungan peribadi maka sumpah itu merosakkan diri dan negara yang diperintah.
“Inilah dikatakan sumpah Langkah Sheraton. Bila berlaku pekhianatan maka sumpahan itu berlaku kerana mengkhianati demokrasi
“Sebab itu pergolakan demi pergolakan berlaku disebabkan pemikiran ahli politik PN ini tiada kemanusiaan, hanya kemaruk merompak, dan menjahanamkan negara.
“Kerajaan seperti ini tidak akan mampu menjana kebaikan dan keselesaan rakyat,” katanya lagi.