Kes mencuri RM40 wang tabung masjid untuk membeli keperluan harian dan dihadapkan ke mahkamah di Kedah, menjadi satu indikator baru keterdesakan hidup rakyat di bawah pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional 2.0.
Menurut Ahli Majlis Pimpinan Wanita Pusat KEADILAN, Mahani Abdul Moin, kes wanita berusia 28 tahun yang tidak mengaku bersalah kerana mendakwa jumlah yang dicurinya hanya RM28 untuk mengisi minyak motor, membeli makanan dan tambah nilai telefon bimbit itu menunjukkan betapa buruknya taraf hidup rakyat Malaysia sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) digulingkan pada Februari 2020 lalu.
“Biar apa pun tujuannya, perbuatan mencuri tetap salah dari segi undang – undang apatah lagi dari sisi agama Islam. Walau jauh disudut hati saya punya rasa empati terhadapnya dan juga amat sedih kerana negara kita sudah 64 tahun merdeka tetapi masih ada rakyat yang terpaksa mencuri untuk hidup.
“Lebih menyedihkan pada hari ini (semalam) wanita dari kategori ibu tunggal itu didakwa bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, maka sudah pasti tertuduh yang sudah tiada pendapatan tetap harus turun naik mahkamah pula untuk dibicarakan,” katanya.
Bagi Mahani, terdapat dua perkara yang menjadi persoalan dalam isu berkenaan. Pertama, keprihatinan masyarakat setempat terhadap penderitaan orang lain dan kedua, betapa lembabnya kerajaan PN dalam mengagihkan bantuan terutama pada waktu pandemik Covid 19 yang mana majoriti rakyat mengalami kesusahan.
“Dua perkara yang menjadi persoalan, iaitu keprihatinan pihak jawatan kuasa qariah masjid dalam menangani masalah kesempitan hidup anak mukim atau masyarakat setempat dan peranan menteri-menteri yang berkaitan dalam menyelesaikan pemasalahan rakyat, terutama dari golongan rentan. Saya cuba bayangkan kemampuan tertuduh untuk membayar wang jaminan sebanyak RM2000 yang nilainya hampir 100 kali ganda wang yang dicuri.
“Adalah jelas kerajaan PN melalui Kementerian Hal Ehwal Agama dan Kementerian Hal Ehwal Wanita masih gagal menangani pemasalahan rakyat yang perlukan bantuan yang mana agensi-agensi di bawah Kementerian masing – masing seperti YADIM dan JKM seharusnya lebih proaktif mengenalpasti dan menjejak mereka yang sangat terkesan ekonomi disebabkan pandemik Covid 19.
“Adakah mungkin kerana mereka ditinggal terbiar atau tersisih sehingga semakin ramai terpaksa mencuri untuk hidup?” tanya lagi.
Menurut Mahani, dua menteri PN wajar bertanggungkawab sepenuhnya dalam insiden itu. Mereka, katanya, tidak boleh mengelak kerana sebelum ini berbangga menggulingkan kerajaan PH dan memberitahu rakyat bahawa pentadbiran mereka yang pro Melayu-Islam akan menjadikan negara lebih baik dan rakyat terbela.
“Datuk Seri Rina Harun dan Ustaz Idris Ahmad adalah diingatkan supaya tidak terus lena dikerusi empuk, sedangkan rakyat marhaen nak bermimpi pun tidak mampu,” katanya.