Perdana Menteri (PM) ke 9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diingatkan agar melaksanakan usul Undi Percaya pada sidang Parlimen sesi September ini atau menghadapi kehilangan keyakinan rakyat terhadap pentadbirannya seperti bekas PM Mahiaddin Yassin.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, tiada apa yang perlu dikhuatirkan oleh Ismail Sabri kerana Pakatan Harapan (PH) telah memberi jaminan tidak akan mempersulitkan beliau dalam pengundian tersebut.
“Jadi beban tanggungjawab memenuhi permintaan adil dan saksama dari Yang di-Pertuan Agong terletak ke atas bahu PM Ismail Sabri Yaakob.
“Jika Ismail Sabri lulus ujian pertama mendapatkan sokongan ahli Dewan Rakyat secara Akuan Bersumpah sebanyak 114 undi, dan suatu Kabinet atau Jemaah Menteri yang lengkap telahpun dilantik dan mengangkat sumpah, ditambah sikap positif dan bertanggungjawab Blok Pembangkang yang mahukan wujudnya keadaan politik yang stabil dan sehat, maka tidak wajar dan tidak ada alasan untuk Perdana Menteri takut atau bimbang membentangkan Usul Percaya yang permintaanya telah didekrikan oleh Agong.
“Sebaliknya jika PM Ismail Sabri ingkar terhadap permintaan yang di-Pertuan Agong itu maka kesannya akan merugikan PM sendiri. Keabsahannya akan terus dipersoalkan seperti nasib malang yang pernah menimpa Muhyiddin Yassin. PM ke-9 ini akan dilihat sebagai pemimpin yang takut dengan bayang-bayang sendiri jika beliau enggan membentangkan Undi Percaya terhadap dirinya,” kata Hassan kepada Suara Keadilan.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang memberitahu media bahawa usul Undi Percaya tidak terdapat dalam jadual untuk sidang Parlimen sesi September, yang memberi makna berkemungkinan usul tersebut akan ditunda ke tarikh lain.
Dalam hal tersebut, bagi Hassan, selain mendapatkan keyakinan rakyat, usul Undi Percaya juga penting dalam persepsi rakyat mengenai hubungan PM dan Yang di-Pertuan Agong. Tanpa titah tersebut tertunai, katanya, maka keabsahan Ismail dipertikaikan juga kesetiaannya kepada Agong sebagaimana PM sebelum beliau.
“Jadi Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob perlu menghormati saranan Yang di-Pertuan Agong supaya Undi Percaya dibentangkan di Dewan Rakyat.
“Agong ingin berkongsi kuasa dengan Dewan Rakyat, suatu institusi kekuasaan rakyat di bawah sistem demokrasi berparlimen yang bersumberkan kekuatannya dari mandat rakyat hasil dari proses pilihan raya
“Jika Saranan Yang di-Pertuan Agong itu dipatuhi oleh PM dan Jemaah Menteri yang baru dilantik oleh Agong atas nasihat Perdana Menteri maka satu konvensyen yang kukuh dari segi Perlembagaan dapat dibina di mana, kuasa menentukan keabsahan seseorang PM dan Jemaah Menterinya dilakukan di dalam Dewan Rakyat.
“Kerajaan baru di bawah pimpinan PM ke-9 ini akan kelihatan kukuh dan berwibawa jika ia dapat melepasi ujian Undi Percaya,” katanya.
Mengenai usul kerajaan yang sering diutamakan dalam sidang Parlimen sebagaimana alasan yang diutarakan Speaker Dewan Rakyat ketika pentadbran Mahiaddin Yassin yang lalu, Hassan berkata usul percaya adalah hal kerajaan dan itu sepatutnya lebih diutamakan daripada yang lain.
“Undi Percaya ini datang dari suatu usul yang dibawa oleh kerajaan, yang diberi keutamaan dalam agenda Dewan Rakyat di bawah Aturan 15 (1), yang menyatakan bahawa pada tiap-tiap hari persidangan mesyuarat urusan Kerajaan hendaklah didahulukan daripada urusan-urusan lain,” katanya lagi.
Tambah Hassan, kedudukan Ismail ketika ini adalah yang terbaik kerana telah mempunyai 114 sokongan dan tidak ada sebarang usul tidak percaya terhadap PM dibawa oleh Ahli-ahli Parlimen pembangkang, ataupun dari ahli backbancer Kerajaan.
Jadi, tiada sebab untuk Ismail menundanya. Sebaliknya kegagalan untuk melakukan usul percaya itu, ujar Hassan, akan menimbulkan keraguan dan menjatuhkan imej Ismail sebagai PM daripada blok BN yang diwar-warkan sebagai penyelamat negara serta didakwa disokong oleh blok kerajaan dan pembangkang.