Pendapat Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berkenaan usul Undi Percaya di Dewan Rakyat ke atas Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai mengatasi kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dianggap tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan.
Bagi pakar undang-undang Perlembagaan, Dr Aziz Bari, usul Undi Percaya tidak perlu dipertikaikan kerana telah menjadi tradisi dalam sistem pemerintahan Malaysia dan dilakukan oleh mana-mana individu yang dilantik sebagai Perdana Menteri tidak melalui Pilihan Raya Umum.
Bahkan dalam keadaan semasa, katanya, usul tersebut telah menjadi ‘wajib’ jika tidak mahu dianggap menderhaka kerana telah dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong ketika PM Ismail Sabri mengangkat sumpah.
“Dengan adanya amalan tersebut sebelum ini, khususnya pada 1976 dalam pelantikan Tun Hussein Onn sebagai PM ketiga, ia sudah menjadi sebahagian daripada amalan dan tradisi Perlembagaan negara.
“Yang di-Pertuan Agong sendiri telah menyarankan usul tersebut (kepada Ismail). Dengan itu, kenyataan Peguam Negara adalah aneh dan menimbulkan persoalan. Ini dengan sendirinya menolak andaian Peguam Negara yang usul berkenaan mempersoal kuasa Yang Di-Pertuan Agong.
“Sepatutnya Peguam Negara menyokong cadangan yang jelas boleh menyuburkan tradisi Perlembagaan negara. Peguam Negara perlu sedar bahawa Perlembagaan tidak terbatas kepada peruntukan yang ada semata-mata. Segala amalan yang selari dengan Perlembagaan juga perlu diperkasakan,” kata Dr Aziz dalam satu kenyataan.
Menurut Ketua Pembangkang DUN Perak itu lagi, kenyataan Peguam Negara itu telah menimbulkan kekeliruan dan kecelaruan berhubung Perlembagaan, khususnya mengenai proses Undi Percaya.
Menurut beliau, usul Undi Percaya tidak boleh dianggap ketetapan undang-undang kerana tidak ditulis dalam Perlembagaan namun amalan usul seumpama itu di Malaysia dan negara-negara Komanwel lain mewajarkan ianya diadakan.
“Sebenarnya isu keabsahan (legitimacy) bukan isu undang-undang. Apa yang menjadi persoalan ialah isu yang lebih bersifat politik atau asas moral kepada pelantikan dan kedudukan Perdana Menteri.
“Seruan supaya diadakan usul percaya (motion of confidence) adalah supaya pelantikan tersebut disahkan. Meskipun ia bukan keperluan undang-undang, ia tidak bertentangan dengan mana-mana peruntukan Perlembagaan,” katanya lagi.
Reaksi Peguam Negara semalam menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pemerhati politik yang membayangkan kemungkinan kerajaan PM Ismail Sabri tidak lagi mempunyai 114 sokongan majoriti sebagaimana dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, dua minggu lalu.
Berbeza dengan pendahulunya, Tun Hussien Onn dan Tun Abdullah Ahmad Baawi yang mengambil alih tampuk pemerintahan dalam keadaan politik yang stabil, Ismail mengambil alih kerusi PM ketika wujud perebutan jawatan Timbalan Perdana Menteri dari Bersatu, khususnya puak Azmin Ali dan puak Gabungan Parti Sarawak yang mahukan kedudukan berkenaan diberi kepada ahli politik dari Malaysia Timur.