Sidang Dewan Rakyat yang akan memulakan perbahasan esok akan menumpukan pelbagai isu termasuk Akta-akta dan Ordinan Darurat yang masih belum diselesaikan sejak penggantungan Parlimen pada Januari lalu.
Menurut Ketua Whip KEADILAN, Datuk Johari Abdul, beberapa isu besar akan menjadi perdebatan hangat dari pihak pembangkang menghadapi kerajaan Perikatan Nasional 2.0.
Antaranya isu himpunan di Dataran Merdeka pada 2 Ogos lalu yang mana Ahli Parlimen dihalang masuk ke pejabat mereka biar pun telah diluluskan usul meminta Ketua Polis Negara tidak menghalang Ahli Parlimen menjalankan tugas.
“Isu pertama ialah saman oleh Kementerian Kesihatan terhadap semua Ahli Parlimen yang berkumpul di Dataran Merdeka. Saman ini di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.
“Dalam hal ini kita rasa janggal kerana setiap kali memulakan sidang Parlimen, kerajaan akan membuat satu usul memerintahkan Ketua Polis Negara tidak menghalang, atau memastikan tidak ada sesiapa yang menghalang Ahli Parlimen masuk ke Parlimen. Maksud masuk itu bukan dalam dewan sahaja. Dalam kompleks Parlimen itu ada berbagai bangunan. Satu dewan mesyuarat sama ada Dewan Rakyat atau Negara. Kedua kita panggil blok pentadbiran, ketiga blok Ahli Parlimen yang menempatkan pejabat semua Ahli Parlimen
“Pada 2 Ogos, semua Ahli Parlimen termasuk pembangkang ada tugas yang mereka lakukan. Pertama ada yang menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, orang seperti saya yang nak pergi pejabat sebab Parlimen telah ditangguhkan, saya nak berkemas. Ada yang mahu bermesyuarat sesama mereka, tetapi kita dihalang masuk
“Apabila dihalang bukankah ini bercanggah dengan keputusan yang dibuat dalam dewan di mana memerintahkan Ketua Polis Negara, bukan minta pengawal keselamatan, ini satu perintah yang dikeluarkan oleh dewan mengarahkan Setiausaha Dewan memaklumkan (kepada polis),” katanya kepada Suara Keadilan.
Tegas Ahli Parlimen Sungai Petani itu, usul tersebut memberi tentangan kepada pihak kerajaan untuk menentukan pihak manakah yang lebih berkuasa, sama ada Dewan Rakyat atau pihak polis.
“Kita berkumpul sudah tentu kita berucap, menerangkan, kita kecewa sebagai Ahli Parlimen. Sekarang kita dikeluarkan kompaun oleh Kementerian Kesihatan kerana berkumpul yang melanggar undang-undang. Isunya sekarang siapa yang salah? Adakah Ahli Parlimen berkumpul salah, atau polis yang menghalang itu salah?
“Itu satu isu yang akan dibangkitkan dalam dewan, siapa yang lebih mempunyai kuasa? Sama ada dewan atau polis?” tanyanya.
Selain itu, menurut Johari lagi, Ahli-ahli Parlimen KEADILAN juga akan membahaskan isu kelemahan kerajaan PN 2.0 menangani Covid 19.
Terutamanya kelemahan membekalkan vaksin secukupnya ketika negara-negara serantau telah menampakkan kemajuan serta berjaya mengurangkan kes-kes jangkitan harian dengan drastik.
“Sampai sekarang angka jangkitan kita hampir tidak turun. Yang dijangkiti masih tinggi dan yang mati juga ramai sedangkan kita dah lalui Fasa Dua, dan dijanjikan macam-macam. Di Israel nak masuk suntikan dos ketiga, kita ada yang dos pertama pun tak selesai. Khususnya di negeri saya, di Kedah. Banyak yang dos pertama tak dapat. Jangan salahkan rakyat kononnya mereka anti vaksin.
“Masalahnya vaksin tak ada. Kegagalan untuk membekalkan vaksin pada masa yang sepatutnya amat ketara. Ini menunjukkan dua kemungkinan, menteri jaga vaksin, sama ada Kementerian Kesihatan atau MOSTI, Khairy Jamaludin, kedua duanya gagal mendapatkan vaksin,” katanya.
Tambah Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Kedah itu, kelemahan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menjadi Menteri Pertahanan juga tidak akan dilupakan.
Katanya, Ismail perlu bertanggungjawab sepenuhnya mengenai lockdown yang di bawah tanggungjawab beliau tetapi tidak berhasil mengurangkan wabak, sebaliknya hanya melumpuhkan ekonomi.
“Lockdown terlalu lama mengakibatkan dua perkara, orang masih banyak dijangkiti Covid dan kematian juga banyak. Jadi adakah lockdown ini memberikan keputusan maksimum, tidak. Tetapi yang pastinya menyebabkan kehancuran ekonomi
“Ini satu yang bagi saya kejayaan luar biasa Ismail, iaitu untuk ‘tidak memberikan apa-apa keputusan yang baik dalam proses lockdown’,” sinisnya.
Selain itu, Johari berkata, kerajaan PN akan diminta mewujudkan satu polisi yang jelas berhubung pemberian vaksin kepada pendatang tanpa izin (PTI) atau mereka yang tidak mempunyai dokumen sah.
Tanpa golongan berkenaan memperolehi vaksin, katanya, keadaan Covid dalam negara masih membimbangkan dan jangkitan boleh dicetuskan dalam kalangan PTI.
“Tidak ada polisi yang jelas berhubung pendatang haram tanpa dokumen. Ada orang kata jumlahnya setengah juta atau 4 juta. Persoalannya, pendatang ini bukan duduk di pulau, mereka hidup di kalangan kita, dalam estet, rumah kongsi, kampung, pekan bersama kita. Isunya apabila kita kerahkan rakyat ambil vaksin, pendatang ini tidak dipanggil untuk vaksin.
“Kemungkinannya kita tak tahu mereka wujud atau kita tahu mereka wujud tetapi buat tak tahu? Mereka menjadi masalah dan kemungkinan besar mereka menjadi penyumbang kepada merebaknya Covid. Isu ini juga menjadi penyumbang kepada kegagalan pentadbiran Mahiaddin dan Ismail itu sendiri,” katanya.
Isu-isu lain yang akan dibahaskan, tambah Johari adalah keberkesanan bantuan bakul makanan kepada golongan B40, masalah ekonomi pasca Covid, mewujudkan peluang pekerjaan, peningkatan kes psikologi, bunuh diri dalam kalangan rakyat dan sebagainya.