Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) memandang serius isu penahanan reman tiga pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 14 sehingga 19 September 2021 atas dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan di dalam urusan kes terhadap Datuk Hasanah Abdul Majid, Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO).
Menurut kenyataan Majlis Presiden, siasatan polis seharusnya dibuat dengan lebih kemas dan meyakinkan rakyat, tidak cukup dengan pengumuman Menteri Dalam Negeri bahawa satu inkuiri akan dilaksanakan.
“Memandangkan isu ini telah mewujudkan satu persepsi yang amat buruk terhadap SPRM serta mengakibatkan rakyat Malaysia mempertikai integriti institusi itu sendiri, kami berpandangan bahawa satu kertas siasatan perlu dibuka, siasatan tersebut perlu bersifat menyeluruh dan mereka yang telah melanggar undang-undang mesti dibawa ke muka pengadilan.
“Pada masa yang sama Datuk Seri Azam Baki, Ketua Pesuruhjaya SPRM patut direhatkan buat sementara waktu dari tugas-tugas beliau sehingga siasatan penuh dapat dilakukan,” kata kenyataan itu.
Selain itu, Majlis Presiden juga mencadangkan agar kerajaan menubuhkan satu Suruhajaya Siasatan Khas dalam menangani skandal yang membabitkan pegawai-pegawai tinggi SPRM supaya hasil siasatannya lebih meyakinkan dan diterima umum.
“PH turut berpandangan bahawa Kerajaan wajar mempertimbang menasihatkan KDYMM Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat isu-isu berhubung SPRM, serta mencadangkan langkah-langkah mereformasi institusi penting ini,” kata kenyataan itu lagi.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden UPKO, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.