Penyahwartaan kawasan Rimba Komuniti Shah Alam (SACF) yang bukan lagi sebahagian daripada Hutan Simpan Kekal Bukit Cherakah telah dilakukan pada era pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Menurut Exco Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Hee Loy Sian, tiada apa yang boleh dilakukan oleh Kerajaan Negeri Pakatan Harapan kerana pihak pemaju telah pun diberi hak milik tanah oleh kerajaan yang lalu.
Sebaliknya, menurut beliau NGO yang menyalahkan kerajaan Selangor kerana meluluskan pembangunan di kawasan itu seharusnya mengecam kerajaan BN di atas penyahwartaan tersebut.
“Ada pihak menuduh Kerajaan Negeri Selangor membangunkan hutan Shah Alam di Seksyen U10. Ini tidak benar. Apa yang beraku pada kawasan U10 Shah Alam itu merupakan masalah kerajaan terdahulu di bawah Menteri Besar BN. Kawasan itu telah dinyahwartakan pada 2006. Kita (Pakatan Rakyat) ambil alih 2008. Pada masa itu (era BN) tak ada pendengaran awam, sesi libat urus dengan penduduk (maka penyahwartaan tidak diketahui).
“Kalau kerajaan pada masa itu tidak nyahwartakan (SACF) kenapa tanah itu diberi hak milik kepada syarikat? Ada hak milik. Ada Borang 5A. Kalau tidak ada (nyahwarta), mengapa Borang 5A dikeluarkan oleh kerajaan dulu. Mengapa salahkan kerajaan Selangor sekarang?
“Kerajaan sekarang menjalankan tugas dari segi undang-undang sedia ada. Saya harap NGO yang menuduh negeri Selangor sepatutnya menuduh kerajaan terdahulu, bukan kita,” katanya dalam ucapan perasmian majlis penanaman pokok PRO 500 Trees Sentosa, di perkarangan Pusat Khidmat DUN Sentosa, pagi tadi.
Menurut Hee lagi, kerajaan Selangor tiada pilihan selain meluluskan pembangunan di kawasan Rimba Komuniti Shah Alam itu kerana pihak pemaju boleh menyaman Kerajaan Negeri sekiranya permohonan ditolak.
Mengenai kekeliruan mengapakah penyahwartaan tersebut tidak disiarkan, kata Hee, hal itu bukan lagi persoalan kerana pihak pemaju telah pun mempunyai hak milik.
“Penyahwartaan hutan telah selesai dan hak milik telah dikeluarkan. Sekarang timbul isu sama ada pewartaan itu disiarkan atau tidak? Kalau tidak dinyahwarta mengapa hak milik dikeluarkan? Kenapa kerajaan dulu benarkan tanah diberi hak milik?
“Dari segi undang-undang (pembangunan) tak boleh sekat. Kalau sekat pemaju akan saman kita, bawa kes ke mahkamah dan kita akan kalah, dan kemungkinan besar akan bayar ganti rugi. Ini perkara yang tidak adil untuk kerajaan Selangor hari ini,” katanya lagi.
Untuk rekod, Rimba Komuniti Shah Alam seluas 1,114 ekar di kelilingi perumahan Setia Alam, Alam Budiman, Bandar NusaRhu dan Bukit Bandaraya housing developments.
Baru-baru ini, Persatuan Rimba Komuniti Shah Alam aktif berkempen agar hutan berkenaan tidak dibangunkan dan dijadikan hutan simpan kekal berikutan berlaku kerja-kerja tanah di kawasan berkenaan.