Rangkaian 5G yang akan mendominasi sambungan telekomunikasi Malaysia pada beberapa tahun akan datang menjadi persoalan hangat di Dewan Rakyat pada sesi kali ini.
Menurut Jurucakap Parlimen KEADILAN bagi Teknologi Digital, Komunikasi dan Pengangkutan, Syed Ibrahim Syed Noh, pelbagai persoalan mengelilingi syarikat tujuan khas (SPV) Digital Nasional Berhad (DNB) yang ditubuhkan untuk menyediakan rangkaian 5G kepada syarikat telekomunikasi sedia ada.
“Dalam perbahasan titah diraja saya tanyakan sumber kewangan yang diberikan kepada DNB. Syarikat ini adalah syarikat SPV di bawah MOS dan dia merupakan pemborong tunggal rangkaian 5G.
“Dia akan berikan tawaran kepada operator talian yang lain. Soalan saya ialah dari mana sumber kewangan untuk biaya, kerana syarikat ini perlu membiayai rangkaian untuk tempoh 10 tahun.
“Berbelas bilion ringgit. Perkara ini ada disebut dalam RMK-12 dengan jumlah RM5 bilion. Tetapi disebut sebagai pembiayaan di bawah sektor swasta.
“Satu lagi saya tanya kos operasi DNB. Saya difahamkan kos operasinya RM6 bilion untuk tempoh 2021 – 2024. Kos operasi dikatakan mereka usahakan sendiri. RM6.1 bilion dalam 4 tahun ini jumlah besar.
“Saya juga dapat maklumat dalam tempoh itu DNB ada kekurangan RM4 bilion. Mereka kata akan dapatkan dari bank dan sebagainya. Itu persoalan untuk dijawab. Itu kebimbangan,” katanya dalam forum maya Lensa Parlimen: “Teknologi 5G, Apa Rakyat Perlu Tahu?” semalam.
Ahli Parlimen Ledang itu juga tertanya-tanya apakah perlunya syarikat DNB ditubuhkan sedangkan kerajaan mempunyai saham dalam syarikat-syarikat telekomunikasi sedia ada.
Begitu juga tender pembekalan 5G yang diberikan kepada syarikat Ericson sebagai pembekal tunggal.
“Saya tanya mohon perincikan peruntukan RM11 bilion yang diberikan kepada Ericson. Maknanya proses tender telah berlaku dalam DNB ini dan Ericson terpilih sebagai satu-satunya syarikat untuk melaksanakan projek ini dengan nilai RM11 bilion,” katanya.
Bagaimanapun kata Syed Ibrahim, jawapan yang diberikan pihak kerajaan tidak banyak menjernihkan persoalan. Menteri tidak menjawab secara tuntas mengenai kemampuan DNB dalam melaksanakan projek.
“Ada jawapan diberi kerajaan, iaitu DNB dijangka akan mencatat lebihan pada 2025 – 2030. Jadi 2021 hingga 2024 memang ada kekurangan. Ini unjuran.
“Mereka jawab kekurangan akan dibiayai melalui pembiayaan perdagangan, modal kerja,terbitan sukuk bon. Manakala syarikat telekomunikasi (telco) sedia ada tidak dibebani pelaburan insfrastruktur 5G.
“Namun hal berkaitan kemampuan (kewangan) DNB tidak dijawab. Dikatakan hal itu di bawah Kementerian Kewangan. Saya kena tanya Kementerian Kewangan pula,” katanya.
Mengenai persoalan apakah mungkin akan berlaku monopoli rangkaian dan caj yang tinggi dikenakan kepada pengguna apabila harga yang diperolehi oleh syarikat telco kelak pada kadar tinggi, hal itu masih belum boleh dipastikan.
“Apakah kadar borong yang diberikan kepada syarikat ini adil dan berpatutan?
“Di negara lain banyak juga masalah berlaku dengan cara macam ini. Saya ada sebut dalam perbahasan, contohnya di Rusia, Belarus, Mexico. Mereka laksanakan macam ini tetapi gagal.
“Kita bimbang adakah khidmat sampai pada kadar terbaik buat rakyat. Juga dari segi kos. Adakah peningkatan kos? Sekiranya kadar tidak ditetapkan secara berpatutan maka kos akan pergi kepada rakyat,” katanya lagi.