Pembentangan Rancangan Malaysia Ke 12 (RMK-12) semalam menjanjikan harapan seindah bulan bintang, namum realiti di sebaliknya perlu disemak dengan lebih teliti oleh pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Bagi Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Aizuddin Ariffin, tidak banyak makna pembentangan yang mengunjurkan pendapatan purata rakyat Malaysia meningkat ke angka RM10,000 sebulan pada 2025, sedangkan kadar kemiskinan terus melebar.
Menurut beliau, kerjaan Perikatan Nasional 2.0 seharusnya lebih bekerja keras membasmi kemiskinan terutama yang diakibatkan pandemik Covid 19.
“Antara beberapa pembaharuan yang dilaksanakan menerusi pelan pembangunan menyeluruh RMK-12 oleh Perdana Menteri ialah Malaysia akan menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi dan mempunyai kualiti hidup yang lebih baik, dengan purata pendapatan isi rumah dianggarkan sebanyak RM 10,000 sebulan pada 2025.
“Walau bagaimanapun, senario sebenar pendapatan purata pendapatan isi rumah rakyat Malaysia pada 2021 terus merosot dengan pelbagai faktor. Kadar peratus terakhir diperoleh adalah 10% menyusut bagi pendapatan purata isi rumah pada 2020.
“Dengan dampak Covid 19, saya menyarankan agar pentadbiran PM Ismail Sabri untuk memfokuskan survival rakyat berbanding cuba memberi gambaran tidak tepat keadaan sebenar apa yang berlaku dalam negara,” katanya.
Tegas beliau, contoh yang perlu diambil kira apabila dianggarkan bilangan isi rumah miskin telah meningkat kepada 639,800 isi rumah, berbanding 405,400 isi rumah pada 2019.
“Keadaan menjadi lebih teruk dengan statistik terbaru apabila lebih 600,000 di kalangan M40 tergelincir menjadi B40. Ini merisaukan dan tren ini makin meningkat,” katanya.
Selian itu, kata Aizuddin, banyak lagi perkara yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan termasuk isu pengangguran mahasiswa, rakyat hilang pekerjaan dan juga soal menyelesaikan isu gaji minimum.
“Saya berpandangan data purata pendapatan isi rumah tidak lagi boleh menjadi indikator untuk mengukur tahap kesejahteraan ekonomi penduduk.
“Saya melahirkan kebimbangan, jika pendapatan isi rumah ini menjadi ukuran ekonomi, kesenjangan antara yang kaya dan miskin terus melebar jika kerajaan gagal mengurus isu- isu asas rakyat yang mendasar,” katanya lagi.