Keengganan Speaker Dean Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun membenarkan usul Ketua Pembangkang Malaysia berhubung Pandora Papers yang melibatkan ‘penyorokan’ ratusan bilion dolar keluar negara dibahaskan, dibidas.
Ahli Parlimen Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH- Port Dickson) berkata sebelum ini berlaku pendedahan Panama Papers yang juga tidak dibenarkan bahas di Dewan Rakyat, dan kali ini usul Pandora Papers pula ditolak secara tidak wajar.
“Saya telah kemukakan kepada Yang Dipertua usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) mengenai Panama Papers yang saya anggap sangat kritikal bagi negara.
“Kerana negara lebih bertanggungjawab apabila melihat ratusan bilion dolar mereka hilang. Maka Pakistan, India, Mexico, Sepanyol, Panama setakat ini telah menyatakan penyiasatan terbuka. Ini sebelum Yang Dipertua beri penjelasan.
“2012 saya berdiri di sini mengangkat laporan Global Financial Integrity (GFI) yang menunjukkan wang dibawa keluar dari Malaysia tidak mengikut saluran yang sah mencecah RM900,000 bilion. Bank Negara umum tidak ada siasatan, tidak ada tindakan dari pihak kerajaan.
“2015 kita tahu tentang Panama Papers yang juga membangkitkan hal sama
“Sekarang 2021, ini saya anggap mesti dibahas di sini,” katanya dalam sesi perbahasan Dewan Rakyat, petang tadi.
Menurut Pengerusi Pakatan Harapan itu, tujuan perbahasan bukanlah untuk mencari siapa yang bersalah. Nama-nama yang disebut dalam Pandora Papers itu juga boleh memberikan penjelasan mengenai kewangan mereka yang didedahkan.
Namun hal utama, kata Anwar, supaya kerajaan boleh melakukan siasatan selepas dibahaskan.
“Kita tidak menghukum siapa yang disebut, dia boleh bagi penjelasan. Tetapi ratus juta ringgit dalam akaun tersembunyi di syarikat pesisir dan kita tidak beri ruang kerajaan buat siasatan, negara ini akan lingkup. Negara yang lebih bertanggungjawab mengumumkan (siasatan).
“Saya minta PM yang nak jaga kestabilan politik, ketelusan, menjamin kemampanan ekonomi negara….. bagaimana kita boleh diam sahaja bila ratusan bilion ringgit dibawa keluar dan secara haram.
“Ia melibatkan banyak nama. Saya bukan sebut Ahli Parlimen dari Umno atau Bersatu, saya juga sebut Ahli Parlimen daripada PH, khususnya KEADILAN supaya beliau beri penjelasan.
“Kita tidak mahu menghukum sesiapa yang disebut. Tetapi kalau ratusan juta disorok di tax heaven dan kita diam, malu kita sebagai Ahli Parlimen.
“Saya nak sebut di sini. Sebab itu saya mengaja sebut nama Menteri Kewangan, mantan Menteri Kewangan termasuk Ahli Parlimen Selayang,” katanya.
Anwar bertegas sekiranya kerajaan Perikatan Nasional ingin berkerjasama dengan pembangkang maka hal Pandora Papers mesti diberi keutamaan untuk disiasat.
Tanpa membuktikan ketelusan maka hal itu akan memalukan negara dan lebih memalukan, katanya, apabila Parlimen Malaysia menolak usul membahaskan skandal berkenaan.
“Kalau nak cakap MoU persefahaman, ini dia, jaga negara ini, jangan dirompak oleh pemimpin.
“Tidak mudah dan tidak popular untuk tokoh kaya saya kemukakan. Kemukan ini ada risiko. Risiko hilang pengaruh, hilang bantuan kewangan, risiko tidak disokong apa-apa jawatan.
“Tetapi saya sanggup ambil risiko ini kerana negara tidak boleh terus (dalam penyelewengan) dan Parlimen tidak boleh dilayan seperti ini. Hal ratusan bilion ringgit dibawa keluar tak boleh disiasat. Kita tidak boleh terima ini,” katanya lagi.