Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyeru Kerajaan Persekutuan agar memberi bantuan kewangan kepada sekolah agama swasta selepas mereka mengakui menghulurkan sejumlah bantuan kepada sekolah swasta Cina.
Menurut Naib Presiden ABIM, Zairudin Hashim, Sekolah Rendah Agama (SRA) dan Sekolah Menengah Agama Swasta (SMAS) tidak menerima bantuan berbentuk peruntukan operasi dalam Belanjawan 2021.
“Peruntukan yang diberikan hanya aspek baik pulih dan penyenggaraan, namun tidak diluluskan oleh Kementerian Kewangan untuk diubah kepada peruntukan pengurusan akibat Covid-19.
“Sebab itu, sekiranya ada Belanjawan 2021 memperuntukkan untuk sekolah agama swasta, bantuan tersebut tidak sampai dan tidak bermakna.
“ABIM berharap ada bantuan dana khas kecemasan diturunkan bagi pengoperasian seperti bantuan gaji, sewaan dan utiliti serta pengurusan pemulihan setelah kehilangan (pengurangan) murid dan guru (akibat Covid),” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau lagi, rakyat umumnya mengetahui bahawa Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) telah mendapat peruntukan kewangan daripada kerajaan.
Oleh itu, kata Zairudin, sebaik-baiknya peruntukan kewangan juga disalurkan kepada sekolah agama swasta kerana orientasi SRAS dan SMAS yang menyepadukan kurikulum pendidikan kebangsaan, ditambah pula dengan pembelajaran agama.
“Peranan SRAS dan SMAS jelas selari dengan Falsafah Pendidikan Negara serta Akta Pendidikan 1996, berbanding dengan beberapa jenis sistem persekolahan swasta atau persendirian lain yang ada di negara ini.
“Bagaimanapun, pandemik Covid-19 sepanjang dua tahun telah memberikan kesan kepada SRAS dan SMAS.
“Antara kesannya adalah kepada aspek pengoperasian apabila institusi kehilangan pelajar dan pengurangan yuran yang berjangka panjang.
“Hal ini mengakibatkan SRAS dan SMAS terpaksa mengurangkan gaji guru dan dalam masa sama, masih perlu memenuhi tuntutan kos operasi yang tinggi untuk meneruskan komitmen sewaan dan utiliti,” katanya.
Tegas Zairudin, memandangkan kedua-dua institusi pendidikan berorientasikan agama tersebut berdiri atas kapasiti sumbangan komuniti, ABIM berpandangan bantuan kewangan tahunan amat perlu, ditambah pula permintaan masyarakat yang tinggi terhadap sekolah menyediakan pendidikan akademik dan agama.
“Terdapat 457 sekolah rendah agama swasta (SRAS) dan 77 buah sekolah menengah agama swasta (SMAS), dengan lebih 79,000 orang murid.
“Jumlahnya jauh lebih banyak daripada 63 buah sekolah menengah persendirian cina (SMPC) yang diberikan dana bantuan sebanyak RM15 juta, iaitu secara purata, hampir RM240,000 sebuah.
“Maka, bantuan kepada SRAS dan SMAS perlulah lebih adil dan mencerminkan keselarian dalam Perlembagaan Persekutuan, perkara 12(2) dan Akta Pendidikan 1996.
“Isunya bukan untuk menidakkan bantuan dana kepada mana-mana institusi pendidikan, tetapi penting untuk memberikan keadilan kepada keseluruhan warga Keluarga Malaysia,” katanya.
Justeru, ABIM menggesa kerajaan mempertimbangkan bantuan kewangan disalurkan seperti mana diterima SMPC kerana tuntutan tersebut selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, perkara 12 (2) serta Akta Pendidikan 1996.
ABIM juga menyeru semua pihak untuk bersama menandatangani petisyen memohon bantuan kewangan pada pautan, https://chng.it/tH48S8Vm