Aspirasi anak muda atau generasi Undi 18 amat berlainan daripada generasi sebelumnya yang lebih mengagung-agungkan politik pembangunan dan mudah dibeli oleh kerajaan BN.
Bagi Presiden UPKO, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, generasi Undi 18 mungkin memberi kelebihan kepada blok pembangkang dengan melihat kepada pandangan politik mereka yang mengutamakan urustadbir baik, pemuliharaan alam sekitar dan anti korupsi.
Apatah lagi, katanya, generasi Undi 18 tidak lagi terikat dengan politik perkauman yang berpaksi retorik kaum Melayu akan selamat di dalam kerajaan 90% Melayu Islam.
“Saya fikir Undi 18 itu memberi kelebihan kepada blok pembangkang dengan andaian mereka ini mereka kalau pun terlibat dalam politik pendapat politik mereka sudah lain.
“Sebab mereka bukan lagi mengutamakan sentimen kaum dan agama. Itu yang kita lihat.
“Kemudian dari segi parti berasaskan Melayu di Semenajung, pada pandangan saya, walaupun pandangan mengatakan mereka bersatu padu, kita lihat pelbagai parti yang ada sekarang dalam kerajaan kehenak dan hala tujunya berbeza.
“Dari segi Pas katakan dengan Bersatu, ada perbezaan. Mudah-mudahan dengan generasi muda ini kita dapat mencorakkan satu (kerajaan) Malaysia yang baru (tanpa mengutamakan perkauman),” katanya dalam wawancara bersama Suara Keadilan.
Bagaimanapun, tambah Wilfred, terpulang kepada kebijaksanaan strategi Pakatan Harapan untuk mengambil peluang kemarahan generasi muda kepada kerajaan Perikatan Nasional bagi meraih sokongan dalam pilihan raya.
“Cumanya, sama ada Undi 18 ini, adakah ia dapat dilaksanakan dengan cepat sebelum PRU? Kedua strategi kita untuk menangani (mendapatkan sokongan) mereka,” katanya lagi.