Pakatan Harapan (PH) masih belum memutuskan nasib tiga bekas ADUN Umno dan Bersatu yang menumbangkan pentadbiran Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali, biarpun Datuk Norhizam Hassan Baktee telah ditolak bertanding menggunakan tiket PH.
Menurut Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim perbincangan masih diadakan oleh PH Melaka dalam memutuskan nasib mereka mengambil kira usaha ketiga-tiga bekas ADUN itu dalam mengembalikan mandat rakyat kepada PH.
“Satu dah (ditolak), tinggal tiga. Kita masih dalam peringkat akhir. Kita kena jelaskan juga kedudukan ini.
“Pimpinan PH Melaka bincang dengan mereka, minta kerjasama mereka. Mereka mengambil keputusan menyokong PH dan memulihkan mandat kepada PH yang dirampas atau dikhianati sebelumnya.
“Sekarang kita ada masalah untuk menolak begitu sahaja sebagaimana yang diharapkan dalam media sosial. Itu tidak tepat sebab dia sokong untuk kembalikan mandat kita,” katanya ketika menjawab pertanyaan wartawan di Port Dickson, pagi tadi.
Menurut Anwar, faktor ketiga-tiga bekas ADUN tersebut sanggup dipecat dari parti asal mereka perlu diambil kita sebelum keputusan dibuat.
“Kedua persefahaman mereka untuk bersama (PH). Kalau mereka umpamanya ambil keputusan, mereka dah jangka akan dipecat oleh Umno atau Bersatu. Jadi demikian kita nak ketepikan begitu sahaja, tidak bholeh.
“Saya terpaksa bincang dengan kepimpinan PH di Melaka untuk mengambil kira hal ini sebelum sebelum buat keputusan.
“Tetapi saya kurang bersetuju jika orang longgokkan mereka sebagai kumpulan Langkah Sheraton umpamanya. Ini mereka nak kembalikan amanah kepada PH. Itu pertimbangan kita,” kata Anwar lagi