Isu perbahasan Pandora Papers tenggelam dengan perbahasan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat.
Bagaimanapun bagi Ahli Parlimen Selayang yang namanya diikut sertakan dalam pendedahan itu, William Leong Jee Keen, tidak ada sebab isu Pandora Papers cuba dielak oleh Yang Dipertua dewan daripada dibahaskan.
Katanya, kesempatan sidang Parlimen kali ini perlu digunakan untuk meneruskan perbahasan mengenai hal itu.
“Ini menjadi satu perkara yang Datuk Seri Anwar dan kita di dewan mahu Speaker memberikan peluang (dibahaskan). Saya sendiri telah berdiri (sesi bahas Ketua Pembangkang) dan kata saya sokong permohonan Datuk Seri Anwar. Saya dinamakan dalam Pandora Papers dan saya mahu satu peluang untuk memberikan penjelasan saya.
“Tetapi akhirnya beberapa jawapan dan alasan teknikal diberikan yang pada saya dan ramai tidak boleh terima. Perkara itu adalah besar dengan jumlah RM1.8 trilion pengaliran wang keluar.
“Rakyat semua nak tau hal ini dan bagamana ia boleh berlaku. Pada saya semua ciri-ciri dan keperluan untuk bahas wujud di dalam usul itu dan harus kita bahas. Tetapi tidak ada peluang untuk kita bahas,” ujarnya dalam segmen khas Suara Keadilan, “Sembang Ketua Cabang”, baru-baru ini.
Menjelaskan mengenai tujuan beliau melabur dalam simpanan di luar pesisir pada 1990an, William berkata, ketika itu beliau bekerja di luar negara dan keputusan yang dibuanya mengambil kira kadar faedah serta cukai yang dikenakan oleh pusat kewangan persisir.
“Kita ada peluang pilih negara lain tetapi alasan adalah sama, di mana negara yang stabil politik ada rule of law dan kita simpan wang selamat serta beri kadar faedah tinggi. Di beberapa pusat kewangan pesisir cukai mereka rendah atau tak ada cukai.
“Mereka kenakan bukan cukai pendapatan tetapi cukai perkhidmatan seperti GST. Kalau kita tidak ada di sana untuk konsumsi maknanya kita tidak perlu membayar cukai pendapatan.
“Bila kita ambil kira semua faktor ini memang jelas kita nak pulangan terbaik. Setiap orang akan menjaga wang mereka dan ini menjadi tanggungajwab kerajaan untuk menarik pelaburan tempatan atau daripada orang asing, tetapi akhirnya faktor mereka buat keputusan ialah rasa selamat dan pulangan besar,” katanya.
Menurut William lagi, pada 1990an untuk meletakkan wang dalam pelaburan di Malaysia agak berisiko kerana harga saham melambung tinggi akibat permainan spekulatif melampau di pasaran saham manakala saham pula tidak mempunyai fundamental yang kukuh.
“Kalau kita balik waktu saya di luar negara 1994, pada waktu itu saya melihat pasaran saham di Malaysia tinggi, papan kedua pun harga saham lebih RM100 (per unit), tidak ikut fundamental, ini menjadi satu perkara yang sungguh merunsingkan kalau kita bukan ‘kaki berjudi’ (di pasaran saham) tetapi satu pelaburan yang selamat.
“Tidak lama selepas itu kita melihat krisis kewangan Asia dan semua harga saham jatuh merudum dan beberapa bank juga telah tutup.
“Waktu itu kita tidak tahu kerajaan akan bail out (selamatkan) tetapi kita lihat saham terlalu tinggi. Ini faktor semua orang akan mengambil kira di mana untuk letakkan wang simpanan,” katanya lagi.