Rakyat bersorak apabila dalam pengumuman Belanjawan 2022 lalu orang muda mendapat bantuan one off e-wallet RM150 manakala penjawat awam pula mendapat RM700.
Bagaimanapun, menurut Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin rakyat tidak tahu menteri PN 2.0 mendapat nikmat berpuluh kali ganda daripada mereka. Hakikatnya, Menteri PN dibenar menggunakan kenderaan mewah, sebuah Vellfire baharu sejak April lalu.
“Di sebalik pemberian sagu hati kepada rakyat, tanpa disedari, Menteri-menteri BN-PN-Pas sebenarnya menikmati bantuan yang paling banyak. Mereka mendapat “bantuan kereta Vellfire” sebanyak RM 5,759.35 sebulan. Tahniah.
“Menteri-menteri kerajaan BN-PN-Pas menggunakan Vellfire baru sejak April 2021. Perkara ini berlaku ketika rakyat sedang kehilangan kerja, syarikat lingkup dan kes membunuh diri menjadi-jadi pada tahun ini.
“Hutang negara juga telah mencecah sehingga RM1.3 trillion. Hutang kerajaan mencecah 65% KDNK.
“Adakah kemewahan ini satu keperluan?” tanya Sim.
Beliau yang juga Pengarah Strategi KEADILAN mengungkit bagaimana gempitanya BN dan Pas mengkritik Pakatan Harapan ketika menjadi kerajaan dahulu.
Katanya, untuk menukar kereta baharu bagi menggantikan kereta rasmi lama yang tidak lagi berprestasi pun PH ‘dihentam’ habis-habisan oleh kedua-dua parti berkenaan.
“Mereka ini dulu lantang membantah kerajaan PH kerana mempertimbangkan cadangan menukar kereta. Sekarang mereka seronok menikmati kemudahan ini tanpa perasaan segan silu. Segala bantahan dulu nampaknya telah dicurahkan ke laut selat Melaka.
“Dan paling nyata, Najib yang lantang membantah kerajaan PH sekarang membisu seribu bahasa.
“Rakyat dapat memerhatikan pendirian dan karenah BN-PN-Pas sebelum dan selepas mendapat kuasa.
“Tepuk jari tanya sendiri,” sinis Sim lagi.