Pakatan Harapan (PH) perlu diberi mandat untuk menjadi kerajaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka
Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata demikian dalam majlis mengumumkan calon PH pada petang tadi.
“Perpaduan antara kita cukup penting dan kita perlu mengambil semula mandat yang diberi pada 2018. Rakyat Melaka telah melihat perubahan pemerintahan yang kita persembahkan, walaupun dalam masa 22 bulan.
“Melaka sebuah negeri yang maju, kalau kita menang 20 November nanti, kita boleh rangka pembangunan selama 5 tahun akan datang.
“Oleh tu, kemenangan ini cukup penting untuk Pilihan Raya Umum akan datang,” katanya dalam sidang media atas talian di sebuah hotel di ibu negeri Melaka.
Ahli Parlimen Kota Raja berkenaan menggesa agar jentera PH bersatu padu dan saling tolong menolong antara satu sama lain.
Katanya, hanya dengan bergandingan bahu sahaja rakyat akan yakin terhadap keupayaan PH memenangi PRN.
“Kita bertanding sebagai satu pasukan. Ertinya kita jangan ada mengatakan calon Amanah mesti menang, calon lain kalah tak apa. Ini calon KEADILAN atau calon DAP mesti menang, calon lain kalah tak apa.
“Kalau menang mengikut parti masing-masing, tak cukup untuk memerintah Melaka. Tetapi bila menang calon yang dibariskan oleh PH maka boleh memerintah.
“Akan ada pelbagai cerita akan keluar dalam PRN ini tetapi kita kena tumpu kepada kemenangan. Semua petugas kita perlu beri sumbangan kepada semua parti,” katanya.