Pakatan Harapan (PH) akan melancarkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dalam beberapa hari lagi.
Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata demikian dalam sidang media bersama Pengerusi DAP Melaka Datuk Tey Kok Kiew dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Melaka, Datuk Halim Bachik, tengah hari tadi.
“PH akan memulakan kempen dengan memberi fokus kepada 28 calon DUN kita di mana secara umum kita punyai 18 calon dan atau 64% yang ditampilkan berusia 50 tahun dan ke bawah. Dengan calon paling muda berusia 21 tahun, manakala 10 calon adalah anak muda kurang umur 40 tahun.
“Daripada keseluruhan 4 calon adalah wanita yang ditampilkan pada kali ini
“PH juga akan melancarkan pelan Maju Bersama PH yang akan disempurnakan oleh Pengerusinya Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pimpinan PH yang lain.
“Kita mengharapkan rakyat Melaka akan keluar mengundi beramai-ramai pada 20 November dan mengharapkan pilihan terbaik untuk masa hadapan dan pembangunan negeri Melaka tercinta,” katanya.
Menjawab soalan media sama ada PH yakin menghadapi pertandingan sehingga 6 penjuru dalam PRN kali ini, Adly berkata, gabungan itu akan menggunakan trek rekod memerintah selama 22 bulan lalu sebagai sandaran.
“Kalau kita lihat persaingan kali ini ada 6 penjuru, 5 penjuru, 4 dan juga 3 penjuru. Amalan demokrasi tidak menghalang hal itu. Cuma fokus PH memberikan keyakinan kepada rakyat berdasarkan trek rekod kita,” katanya.
Mengenai kempen yang sukar dilakukan berbanding pilihan raya sebelum ini, Adly memohon agar media arus perdana memainkan peranan penting memberi ruang kepada calon-calon bertanding untuk berkempen kepada pengundi.
Di samping, katanya, PH akan memanfaatkan media sosial sebaik-baiknya dalam berkempen
“Cabaran terbesar kita SOP diperkenalkan kerana PRN kali ini berbeza.
“Kempen rumah ke rumah sukar, himpunan yang menjadi medium utama menjadi halangan bagi kita. Kita akan guna media baharu dan risalah juga penerangan secara mobile akan dimanfaatkan.
“Kita berharap media arus perdana harus berikan ruang kepada calon-calon. Mereka harus diberikan ruang sewajarnya,” kata Adly lagi.