Jawatankuasa Komunikasi, Digital dan Multimedia Pakatan Harapan (PH) menyeru agar kerajaan membenarkan media rasmi digunakan oleh calon-calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka untuk berkempen memandangkan kempen secara tradisional tidak dibenarkan.
Menurut jawatankuasa itu, PRN tidak mungkin dapat dilaksanakan secara adil dan saksama apabila Majlis Keselamatan Negara mengeluarkan Prosedur Operasi Piawai (SOP) yang amat ketat berkenaan kempen dan cara-cara merayu undi.
“Semua aktiviti berkempen yang melibatkan pertemuan di antara calon dan pengundi secara fizikal adalah tidak dibenarkan, termasuk ceramah, ziarah rumah ke rumah dan aktiviti ‘walkabout’.
“Ini bermaksud kempen secara tradisional tidak lagi dibolehkan. Namun berkempen sepenuhnya secara media sosial juga belum dapat dilaksanakan dengan lancar.
“Para pengundi di Melaka yang tinggal di kawasan dengan capaian internet atau telekomunikasi yang tidak baik, atau tidak mempunyai telefon pintar, atau tidak fasih media sosial bakal tertinggal dari menerima maklumat tepat dan terkini dari calon yang bertanding.
“Mereka sudah pasti hanya mempunyai akses kepada saluran maklumat yang lebih tradisional seperti radio, televisyen, dan surat khabar,” kata kenyataan jawatankuasa itu.
Jawatankuasa Komunikasi khuatir hal itu akan mengakibatkan kesenjangan akses maklumat serta ketempangan amalan demokrasi yang melauas di Melaka
Oleh itu, jawatankuasa terbabit menggesa agar Menteri Komunikasi dan Multimedia segera melaksana beberapa perkara yang perlu bagi memberi peluang sama rata kepada setiap calon yang bertanding.
“Kami gesa agar diberi ruang sekurang-kurangnya 30 minit bagi setiap parti, setiap malam untuk berceramah di TV1, TV2, dan Bernama TV
“Memberi ruang sekurang-kurangnya 60 minit bagi setiap parti, setiap hari untuk berceramah menggunakan Melaka FM dan Bernama Radio
“Kami juga mencdangkan agar program forum perdana diadakan yang diwakili setiap parti dan disiarkan sekurang-kurangnya sekali melalui saluran TV dan radio rasmi sepanjang tempoh kempen PRU DUN Melaka ini,” kata mereka.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (Ahli Parlimen Lembah Pantai, KEADILAN), Khalid Samad (Ahli Parlimen Shah Alam, AMANAH), Hannah Yeoh (Ahli Parlimen Segambut, DAP), Wong Shu Qi (Ahli Parlimen Kluang, DAP), Chan Ming Kai (Ahli Parlimen Alor Setar, KEADILAN), Soraya Salim – Setiausaha Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) dan Loh Ker Chean (Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN).