Pakatan Harapan (PH) menyambut baik tawaran kerajaan Perikatan Nasional 2.0 untuk memberi ruang dan peluang sama rata berkempen kepada calon-calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kesediaan untuk membenarkan calon berucap dan berkempen di media rasmi boleh menyuburkan demokrasi dalam suasana PRN menghadapi kekangan Prosedur Operasi Piawai yang amat ketat.
“Saya sambut baik malah mengalu-alukan hasrat kerajaan menyatakan kesediaan untuk memberi ruang berkempen sama rata kepada semua calon-calon PRU Melaka termasuk yang ditonjolkan PH di saluran media rasmi kerajaan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar debat langsung diadakan antara calon-calon Ketua Menteri yang bertanding bertujuan memberi maklumat lengkap kepada rakyat mengenai dasar-dasar yang akan dilaksanakan oleh parti-parti yang bertanding sekiranya menang PRN.
“Lantaran itu, saya mencadangkan satu debat terbuka dianjurkan antara calon-calon Ketua Menteri dari PH, BN dan PN yang bertanding di Melaka.
“Saya yakin cadangan ini adalah wahana terbaik dalam melonjak nama Malaysia sebagai contoh negara demokrasi yang sihat dan matang,” katanya lagi.