Penguatkuasaan Prosedur Operasi Piawai (SOP) berkempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dilihat terlalu ketat sehingga tidak relevan dalam situasi semasa.
Menurut Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil, Melaka telah memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara dan amat tidak wajar halangan yang ketat diperlakukan kepada petugas kempen Pakatan Harapan (PH).
“Persoalannya mengapa sesetengah parti seperti dikenakan satu SOP lebih ketat berbanding parti lain?
“Kami mengumpulkan beberapa kejadian contohnya anggota parti tidak dibenar memakai baju parti terutama pada ketika pergi rumah ke rumah edar risalah, atau bila mereka pergi ke kedai untuk makan tengah hari. Bukan kerja parti, hanya duduk makan tetapi disergah dan diarah buka lencana. Adakah ini adil? Ini pilihan raya atau apa?
“SOP ini tidak masuk akal kerana mereka yang menetapkan SOP hanya berada di meja mesyuarat. Saya minta pihak Majlis Keselamatan Negara turun dan tengok sendiri bagaimana SOP ini berjalan,” katanya.
Tambah Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, terdapat insiden Bilik Gerakan Utama (BGU) yang dipantau hampir setiap jam oleh pasukan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan polis.
“Kita dapat laporan BGU PH di DUN Paya Rumput hampir tiga kali sehari pihak polis datang untuk melihat pemantauan SOP.
“Adakah 3 kali ini dipanjangkan ke bilik-bilik gerakan yang lain? Malah aduan yang kami terima di BGU KEADILAN di Melaka di mana petugas yang berehat diminta MyKad dan seakan-akan disergah.
“Dalam kita masuk Fasa 4 apakah virus yang kita mahu tangani? Adakah virus itu Covid atau demokrasi?” katanya.
Fahmi juga tidak berpuas hati mesyuarat PH dan majlis pelancaran manifesto diserbu oleh pihak KKM dan polis.
Sedangkan, katanya, dalam SOP mesyuarat parti politik dibenarkan.
“Semalam sewaktu Majlis Presiden PH mengadakan satu mesyuarat pari di sebuah hotel di Melaka, kami terkejut tiba-tiba pintu bilik mesyuarat itu dibuka dan beberapa pegawai daripada KKM dan polis cuba menyerbu masuk dan mereka mengambil gambar kami bermesyuarat.
“Ini adalah suatu tindakan yang hanya kita dengar kepada PH. Saya tidak pasti mesyuarat BN atau PN, adakah pihak KKM atau polis berani serbu masuk untuk ambil gambar? Bagi saya ini satu bentuk intimidasi.
“Nasib baik waktu itu tiga wakil PH ke jawatankuasa pencegahan Covid 19, Datuk Seri Saifudin Nasution, Lim Guan Eng dan datuk Salahudin Ayub telah bertemu pegawai tersebut dan memberitahu berdasarkan SOP mesyuarat parti tidak menjadi satu halangan,” katanya
Beliau turut membantah larangan kepada petugas kempen yang tidak dibenarkan bertegur sapa atau memberi ke tangan tuan rumah ketika mengedarkan risalah
Fahmi meminta SOP mengarut tersebut dikaji semula untuk PRN Sarawak dan Pilihan Raya Umum ke 15 kelak.