Insiden agen calon Pakatan Harapan (PH) DUN Lendu tidak dibenarkan masuk ke Pusat Pengundian Awal (PPA) di Balai Polis Masjid Tanah Melaka biar pun telah menunjukkan dokumen lengkap boleh dianggap melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954
Oleh itu, Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan segera ke atas pegawai yang bertugas dan melakukan hal yang tidak sewajarnya.
“Saya menerima laporan daripada salah seorang calon PH di Lendu, iaitu saudara Asri Ibrahim terkait ejen pusat mengundi yang mewakili beliau tidak dibenarkan memasuki Pusat Pengundian Awal di Balai Polis Masjid Tanah.
“Ini satu perkara serius dan saya menggesa SPR untuk mengambil tindakan serta bersikap telus dalam mengendalikan urusan pilihan raya,” katanya.
Sehubungan itu, Anwar yang juga Presiden KEADILAN meminta satu pemilihan semula dilakukan di PPA yang bermasalah tersebut.
“Ternyata insiden yang berlaku hari ini telah mencemarkan perjalanan dan proses Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
“Oleh yang demikian, saya menggesa SPR untuk mempertimbang agar pengundian semula dapat dibuat di PPA terlibat,” katanya lagi.