Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang menyaksikan BN kembali menjadi Kerajaan Negeri dihormati oleh Pakatan Harapan (PH).
Namun, bagi Ahli Parlimen Setiawangsa, sikap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang enggan membenarkan kempen lebih terbuka amat dikesali.
“Saya hormati keputusan yang telah dilakukan oleh pengundi Melaka.
“Kita menghadapi pelbagai cabaran, termasuklah sikap SPR yang tidak berminat untuk membantu rakyat Melaka memilih dengan proses yang lebih telus,” katanya.
Bagaimanapun, menuju PRN Sarawak dan Pilihan Raya Umum akan datang, Setiausaha Pengelola KEADILAN itu meminta satu pemikiran semula strategi secara serius dilakukan agar kekalahan mengejut seperti semalam dapat dihindari.
“Keputusan PRN kali ini bukanlah apa yang diharapkan KEADILAN. Kami mampu melakukan dengan lebih baik. Untuk bergerak ke hadapan, kita perlu melihat strategi parti secara kritikal dan jujur.
“Ada banyak keputusan dan perubahan yang perlu dilakukan sekiranya kita mahu KEADILAN terus relevan.
“Kita tidak boleh mengabaikan mesej yang dihantar oleh para pengundi Melaka. KEADILAN perlu sedia mendengar dan belajar,” katanya lagi.