Pemimpin pemimpin parti komponen Pakatan Harapan (PH) diingatkan agar tidak cuba meretakkan hubungan sesama anggota gabungan.
Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador berkata demikian mengulas kritikan keras ADUN Bilut dari DAP terhadap Presiden KEADILAN.
“Setiap keputusan PH sama ada dari segi pembahagian kerusi, pengunaan logo dan sebagainya diputuskan secara kolektif serta mengambil maklum pandangan pimpinan tertinggi parti.
“Walaupun pada hakikatnya kita mengakui bahawa PH telah tewas dan mendapat keputusan yang tidak memberangsangkan pasca pilihan raya Melaka baru-baru ini, namun kegagalan tersebut tidak wajar ditanggung oleh seorang individu sahaja.
“Saya menyeru supaya kepimpinan tertinggi DAP untuk mengambil maklum tentang dakwaan ADUN mereka yang dilihat cuba memecah-belahkan semangat perpaduan dan keharmonian koalisi PH,” kata Farhash.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Perak itu juga meminta agar kepimpinan peringkat pertengahan dan bawah KEADILAN menumpukan usaha dan gerak kerja bersungguh-sungguh menuju Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 serta berazam untuk tidak mengulangi malapetaka di Melaka.
“Justeru itu, kepimpinan parti di peringkat Cabang, Negeri mahupun Pusat perlu menumpukan seluruh tenaga dan perancangan gerak kerja dari saat ini supaya kita sentiasa bersedia apabila semboyan PRU ke 15 ditiupkan.
“Semoga saf kepimpinan Majlis Presiden PH terus memelihara disiplin organisasi yang lebih matang dan istiqamah dalam perjuangan serta perlu diingatkan bahawa keputusan organisasi adalah tanggungjawab kita bersama,” katanya lagi.