Afghanistan menuju malapetaka kebuluran rakyatnya pada musim sejuk kali ini.
Anggaran Pertubuhan Bangsa bangsa Bersatu (PBB) terdapat 23 juta orang memerlukan bantuan. Manakala Wakil Khas PBB untuk Afghanistan memberi amaran negara itu “di ambang malapetaka kemanusiaan,” dengan 22% penduduk sudah hampir kebuluran dan 36% lagi menghadapi kesukaran mendapatkan makanan.
Bagi Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kenaikan harga barangan dan perkhidmatan penting di negara itu ditambah penutupan aliran dana ke Afghanistan telah memburukkan keadaan.
Selama ini, katanya, kiriman wang asing menyumbang kepada 4% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar Afghanistan yang kini disekat sepenuhnya.
“Permulaan musim sejuk dalam konteks ini menggambarkan senario suram untuk berjuta-juta orang dan boleh mencetuskan gelombang pelarian besar-besaran
“Pemimpin-pemimpin dunia Islam tidak seharusnya terlibat dengan pengabaian dan hukuman kolektif rakyat Afghanistan oleh sistem antarabangsa yang telah mengecewakan mereka sebelum ini untuk mengecewakan mereka lagi.
“Pemindahan wang yang diperlukan untuk membayar makanan dan keperluan serta kerja-kerja pekerja bantuan, doktor, jururawat, penjawat awam harus dipermudahkan untuk mengelakkan krisis kemanusiaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Anwar, penyelesaian kepada konflik di Afghanistan yang membolehkan bantuan asing masuk ke negara itu perlukan campurtangan antarabangsa dengan membawa semua pihak ke meja rundingan, sama ada Pasukan Pejuang Kebangsaan (NRF) dan juga rejim Taliban yang merampas kuasa.
“Saya komited menyokong penyelesaian politik yang adil dan saksama membolehkan rakyat Afghanistan membina semula masyarakat mereka dengan cara yang memberikan maruah kepada semua. Untuk tujuan ini, rakyat Afghanistan berhak mendapat belas kasihan dan bantuan kita.
“Menjadi tanggungjawab masyarakat antarabangsa untuk melibatkan diri dengan semua kumpulan dan parti di Afghanistan termasuk Taliban. Ia juga menjadi tanggungjawab kumpulan di Afghanistan yang ingin mengambil bahagian dalam masa depan negara untuk menunjukkan komitmen yang teguh terhadap keadilan, pembinaan keamanan dan kerjasama yang selaras dengan piawaian hak asasi manusia dan maruah yang terdapat dalam tradisi Islam dengan kehidupan dan ajaran Nabi Muhammad dan khususnya digariskan dalam Piagam Madinah.
“Dalam pembinaan semula Afghanistan, tidak ada tempat untuk keganasan, intimidasi dan diskriminasi. Legitimasi kerajaan Afghanistan dan legitimasi kumpulan politik yang mengambil bahagian dalam kerajaan mesti diperoleh daripada persetujuan pihak yang ditadbir melalui pelbagai bentuk penyertaan demokratik dan masyarakat sivil. Ini termasuk memelihara dan melindungi peranan yang dimainkan oleh wanita dan minoriti,” katanya.
Pengerusi Pakatan Harapan itu juga berpandangan pihak antarabangsa tidak boleh berputus harap dengan Afghanistan dan mengekalkan mitos bahawa rakyat Afghanistan sendiri yang harus dipersalahkan di atas kesusahan mereka kerana keinginan berperang yang melampau.
“Ini adalah trend membimbangkan yang muncul di kalangan pasukan penjajah yang gagal – untuk melabelkan Afghanistan sebagai ‘hilang punca’ atau sebuah negara yang ditakdirkan oleh kitaran keganasan yang tidak berkesudahan.
“Menerima pandangan ini menafikan peluang kaum yang tidak pernah diberi peluang. Membiarkan mereka mengikut nasib mereka adalah sikap penjajah yang telah meresap dalam sejarah ketidakstabilan dan peperangan Afghanistan.
“Tambahan pula, penyederhanaan yang berlebihan menggariskan sentimen anti-Asia dan Islamofobia yang lebih mendalam yang mesti dikenal pasti dan ditentang.
“Dalam setiap keadaan di mana kuasa asing menceroboh dan menduduki tanah yang bertentangan dengan kehendak orang aslinya dan menggunakan kuasa ketenteraan yang paksaan, akibatnya ialah kematian, kemusnahan, pengasingan, keganasan dan kekeliruan,” katanya lagi.
Oleh itu, Anwar menyeru agar rakyat Afghanistan diberi perhatian oleh masyarakat antarabangsa dengan mengadakan rundingan damai yang jujur serta tidak melibatkan campurtangan kuasa-kuasa asing sebagaimana sebelum ini, untuk penyelesaikan jangka panjang di negara tersebut.
Sebelum itu, katanya, masyarakat antarabangsa harus menyegerakan bantuan bagi rakyat negara itu yang sedang berhadapan malapetaka kemanusiaan.