Gabungan Reformis Malaysia (GRM) yang terdiri daripada 10 NGO reformis kekal mendukung Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri (PM) Malaysia ke 10.
Menurut Koordinator GRM, Mustaffa Kamil Ayub, kenyataan Setiausaha Organisasi DAP yang mempertikaikan Anwar sebagai calon PM dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 dan mahu memulakan pelan penggantian amat melukai hati pengundi Melayu.
“GRM kesal dengan kenyataan yang dibuat oleh Mantan Menteri Pengangkutan dari DAP, Anthony Loke, menekankan PH tidak perlu mengetengahkan hanya nama Datuk Seri Anwar sebagai calon PM.
“Kenyataan ini melukakan hati orang Melayu dan majoriti rakyat Malaysia.
“Selama ini DAPlah yang banyak mengaut keuntungan politik daripada karisma politik Datuk Seri Anwar dalam menarik sokongan kepada PH dan parti itu.
“Malahan Datuk Seri Anwar dalam pelbagai medan mempertahankan setiakawan dengan DAP walaupun menurunkan popularitinya di kalangan orang Melayu. Datuk Seri Anwar selalu membawa politik inklusif dan sederhana,” katanya.
Sehubungan itu, GRM menegaskan penyokong Pakatan Harapan (PH) dalam kalangan orang Melayu amat menantikan Anwar diangkat sebagai PM selepas perjuangan selama dua dekad.
Dengan menggantikan beliau, katanya dikhuatiri sokongan Melayu akan hilang dan PH akan kalah lebih teruk dalam PRU 15.
“Janganlah keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menjadi asas menghukum Datuk Seri Anwar. Ini tanggungjawab bersama. Malahan dalam kajian sejak 20 November lalu, tiada korelasi yang jelas antara keputusan PRN dengan PRU.
“GRM dengan tegasnya serta tidak berbelah bahagi menyatakan sokongan penuh kepada Datuk Seri Anwar menerajui Agenda Reformasi Malaysia melalui PRU 15 sekaligus sebagai PM ke 10,” katanya lagi.