KEADILAN dan Pakatan Harapan kesal dengan keputusan wakil-wakil rakyat kerajaan menolak penglibatan pembangkang dalam Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD)
Menurut Ketua Penrangan KEADILAN Johor Md Ysahrudin Kusni, tanpa penglibatan seumpama itu pembangunan di peringkat daerah tidak akan berlaku secara seimbang, terutama antara kawasan ditadbir wakil pembangkang berbanding kerajaan.
“Selaku ADUN pembangkang, saya merasa kecewa dengan keputusan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor kerana menolak cadangan pembabitan wakil rakyat pembangkang sebagai ahli JTPD.
“Berikutan undian secara rahsia dijalankan di mana sebanyak 28 undi dari ADUN tidak bersetuju berbanding dengan perbezaan cuma 1, iaitu sebanyak 27 undian ADUN yang bersetuju dengan cadangan itu,” katanya.
Ysahrudin juga kesal dengan alasan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad bahawa beliau mendapatkan penjelasan kerajaan persekutuan Arahan No.1 (2020) daripada Jabatan Perdana Menteri di mana penjelasan itu menafikan ADUN pembangkang sebagai ahli JTPD.
Sedangkan, katanya, di peringkat Persekutuan sendiri PH mempunyai perjanjian kerjasama (MoU) bersama kerajaan BN yang membenarkan peruntukan sama rata antara Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
“Saya dan rakan-rakan ADUN pembangkang lainnya selama ini telah menunjukkan kerjasama terbaik, malah menyemai semangat demokrasi dengan Kerajaan Negeri sepanjang pandemik berlaku.
“Kami hanya dibenarkan hadir sebagai pemerhati sahaja, akan tetapi Ahli Parlimen dan ADUN yang sama parti dengan kerajaan dibenarkan hadir sebagai ahli Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah.
“Kami ADUN dan Ahli Parlimen dari pembangkang diberi mandat oleh rakyat untuk mewakili kawasan masing-masing. Kami merasakan betapa ruginya bilamana kami tidak dilibatkan sama sekali dalam JTPD,” katanya lagi.