KEADILAN memutuskan bertanding 27 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ini.
Menurut Setiausaha KEADILAN Sarawak, Joshua Jabeng, strategi itu dilakukan kerana mahu menumpukan kawasan kawasan yang boleh dimenangi sahaja.
“27 calon. Rasional untuk tidak bertanding adalah untuk menang. Kita cakap untuk menang, bukan hanya mahu bertanding dan menang adalah cerita lain.
“Kita fokus untuk menang,” katanya dalam sidang media mengumumkan calon calon bagi KEADILAN dalam PRN Sarawak sebentar tadi.
Menjawab soalan wartawan sama ada KEADILAN memilih bertanding di kawasan yang mempunyai pengaruh, Joshua berkata semua kerusi parti itu mempunyai pengaruh tetapi kali ini KEADILAN memutuskan bertanding di kerusi yang yakin dimenangi.
“Bagi KEADILAN semua kerusi itu kuat.
“Jadi kita bertanding semua kerusi, tetapi kita fokus kepada kemenangan maka kita pilih di mana kita rasa yakin kita menang,” katanya.
Pengumuman itu juga mengakhiri teka teki sama ada KEADILAN akan bertindih dengan DAP di sekurang-kurangnya 3 kerusi sebagaimana yang dituntut sebelum ini.
“Kita dalam PH. Dalam semangat PH kita tidak bertindih. Ini prinsip asas,” tegas Joshua lagi.
Antara calon calon yang akan bertanding dalam PRN ialah DUN Opar, Meneng Anak Biris; Tupong, Ahmad Nazib Johari; Satok, Nor Dahlia Esapian Eyau; Batu Lintang, Chrisfe Ng Phuay Eyau; Asajaya, Mahmud bin Epah; Serumbu, Micheal Sawing; Tarat, Christo Micheal; Tebedu, Sr William Rade; Sadong Jaya, Piee Bin Ling; Lingga, Abang Abdul Kasim Abang Bujang; Beting Maro, Abang Zulkifli Abang Engkeh; Saribas Patrick Kamis; Bukit Saban, Mikail Mathiew Abdullah; Ngemah, Satu Anak Anchom, Machan, Mohd Fauzi @ Joseph Usit; Tellian, Mohamad Arwin Abdullah; Balingian, Abdul Jalil Bujang; Kakus, Joshua Jabeng; Katibas, Munan Anak Laja; Murum, Ani Ahmad; Bekenu, Nohafizah Johari; Labir, Zolhaidah Suboh; Maruji, Elias Lipi; Telang Usan, Philip Jau Ding; Mulu, Roland Engan; Batu Danau, Racha Balang dan Ba’kelalan, Martin Samuel Labo.
Menurut Joshua Jabeng lagi, KEADILAN akan masuk PRN bersama PH sahaja melainkan pada saat saat akhir ada persetujuan bersama parti parti pembangkang lain.