Prosedur Operasi Piawai (SOP) berkempen yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kelmarin yang membenarkan aktiviti ceramah fizikal menunjukkan situasi Covid 19 di Sarawak tidak membimbangkan.
Bagi Naib Ketua Wanita KEADILAN Malaysia, Sangetha Jayakumar, pada sisi lain timbul pula persoalan mengapakah dalam SOP sama SPR hanya membenarkan 5 pimpinan tertinggi parti masuk ke Sarawak untuk berkempen.
Katanya, adakah SOP tidak masuk akal itu merupakan helah politik menggunakan situasi Covid sebagai alasan.
“Pengumuman SPR hanya 5 pemimpin tertinggi parti boleh memasuki Sarawak untuk tujuan kempen jelas merupakan percubaan untuk menggunakan Covid sebagai alasan menghalang proses wajar demokrasi.
“Kelihatannya sangat mencurigakan bahawa dalam pengumuman yang sama, SPR menyatakan ceramah fizikal dibenarkan di 64 kerusi kerana liputan internet yang lemah.
“Fakta bahawa ceramah fizikal terbuka dibenarkan, menunjukkan situasi Covid tempatan adalah terkawal,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Menurut Sangetha lagi, pilihan raya memerlukan aksi yang bebas untuk berkempen dan menyatakan tawaran politik.
Tanpa suasana bebas meyakinkan pengundi, ujarnya, tidak mungkin pilihan yang tepat akan dibuat dan tentunya merugikan rakyat dalam tempoh 5 tahun.
“Pilihan Raya Negeri Sarawak agak unik kerana kawasan geografi yang perlu diliputi sangat luas, dan memerlukan tenaga manusia yang ramai.
“Negeri Sarawak telah mengenakan protokol saringan dan parameter yang ketat untuk kemasukan semua pelancong ke Sarawak, oleh itu ia sudah memadai untuk memastikan Sarawak selamat,” katanya lagi.
Justeru, beliau menyeru agar pihak berkhuasa, khususnya SPR menerima Covid 19 sebagai endemik dan membenarkan aktiviti politik berjalan secara normal.
Tegasnya, Covid tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalang demokrasi dan proses berkempen dalam pilihan raya sebagaimana biasa.