Keputusan Mahkamah Rayuan semalam mengekalkan sabitan terhadap bekas Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Najib Razak menimbulkan persoalan yang berlanjutan.
Timbul kritikan rakyat mengapakah Najib tidak segera dihantar ke penjara kerana pekara itu boleh dilakukan.
Sebaliknya dalam tempoh penangguhan hukuman sebelum ini, Najib bebas melakukan semua perkara termasuk berkempen pilihan raya malah boleh juga keluar negara.
Bagi Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim penangguhan hukuman yang dipohon Najib bagi meneruskan rayuannya di Mahkamah Persekutuan boleh ditolak, atau sekurang kurangnya dihadkan kebebasan memandangkan jenayah serius yang dilakukan oleh pemimpin Umno itu.
“Permohonan penggantungan perlaksanaan hukuman (stay of execution) telah difailkan oleh Najib Razak di mahkamah maka persoalan ini akan dijawab dan akan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.
“Undang-undang sedia ada yang menyatakan rayuan boleh dibuat ke mahkamah lebih tinggi hatta ke Mahkamah Persekutuan sekalipun, tidak bermakna secara otomatik penggantungan perlaksanaan hukuman 12 tahun penjara dan denda sebanyak RM210 juta atas Najib yang dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan itu akan dibenarkan.
“Pendengaran atau perbicaraan permohonan Najib terhadap penggantungan perlaksanaan hukuman perlu dilakukan oleh Mahkamah Rayuan,” katanya kepada Suara Keadilan.
Beliau juga berkata, perundangan Malaysia akan dipandang aneh sekiranya Najib bebas bergerak sebagaimana warganegara biasa walaupun telah dijatuhkan hukuman.
Hal itu sebaliknya tidak berlaku dalam kes melibatkan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Malah dalam kes Fitnah I pada 1998, Anwar mendekam di penjara sepanjang tempoh perbicaraan dan hanya dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan pada 2004 apabila hakim hakim memutuskan beliau tidak bersalah di atas tuduhan liwat.