Kelembapan Kerajaan Persekutuan menurunkan aset penting dan pasukan keselamatan untuk membantu pemindahan mangsa banjir yang terperangkap di sebuah sekolah di DUN Seri Muda menyebabkan Menteri Besar (MB) Selangor terpaksa turun sendiri menyelamatkan mangsa.
MB Datuk Seri Amirudin Shari dalam catatannya di Twitter berkata, beliau sendiri terlibat dalam operasi menyelamat di sebuah sekolah yang putus bekalan elektrik dan kekurangan bekalan makanan
Terlihat dalam satu video klip, Amirudin meredah banjir separas dada menyelamatkan seorang bayi dari ibu muda berketurunan India yang terperangkap di sekolah berkenaan, dan membawa bayi itu ke dalam bot penyelamat.
“Saya berada di SK Taman Sri Muda selama 4 jam membantu mengeluarkan mangsa yang terkandas antaranya sebuah keluarga yang mempunyai anak yang baru lahir serta warga emas.
“Proses penyelamatan akan diteruskan malam ini bagi mengeluarkan semua mangsa yang terkandas,” katanya.
Menurut Amirudin yang tiba pada pukul 5 petang, terdapat 1,600 mangsa banjir di situ dan beliau bersama mereka sehingga jam 8.00 malam.
“Masa saya keluar (menggunakan bot) saya bawa 4 orang lagi termasuk seorang yang sakit jantung dan sudah kehabisan ubat,” katanya.
Kawasan perumahan Seri Muda paling terjejas akibat banjir yang menenggelamkan rumah ke paras bumbung oleh kerana lokasinya terletak bersebelahan Sungai Kelang.
Kawasan itu juga tidak dapat diredah menggunakan kenderaan berat melainkan menggunakan bot. Bagaimanapun pasukan keselamatan yang memilikki aset penting berkenaan tidak dikerahkan segera ke tempat bencana.